Dani Parejo begitu beremosi sehingga tidak mampu berkata apa-apa selepas Valencia menewaskan Barcelona untuk menjulang trofi Piala Raja Sepanyol, semalam.

Kevin Gameiro dan Rodrigo Moreno meletakkan skuad kendalian Marcelino itu di depan dalam aksi di Benito Villamarin dan walaupun Lionel Messi mengurangkan defisit, Valencia tetap berupaya mencatat kemenangan 2-1 dan menjulang trofi.

Ia kejuaraan pertama buat kelab itu sejak kali terakhir memenangi kejohanan itu pada 2008 dan menamatkan musim penuh bergaya di Seville.

Dibezakan 10 mata daripada kelompok empat terbaik liga ketika pertengahan musim serta tekanan yang melanda Marcelino, Valencia menikmati babak kedua saingan dengan mengesahkan kedudukan empat teratas dan melangkah ke separuh akhir Liga Europa sebelum kejayaan ke atas Barca.

Parejo menitiskan air mata sewaktu wisel penamat dibunyikan dan kemudian mengakui ia adalah detik istimewa buat semua bersama kelab tatkala pasukan meraikan ulang tahun ke-100.

"Ini adalah sesuatu yang hebat buat keluarga saya," katanya.

"Kami mengharungi detik sukar. Kelab seperti Valencia layak menikmati lebih kejayaan.

"Saya tidak tahu berkata apa. Kami mencipta sejarah menerusi kejayaan Piala Raja Sepanyol musim ini.

"Saya katakan bahawa ia adalah tahun hebat walaupun apa yang berlaku. Terima kasih kepada penyokong Valencia kerana mempercayainya sejak permulaan. Saya sentiasa percayakan kumpulan ini. Kemenangan ini untuk semua."

Penjaga gol, Jaume Domenech, berterima kasih kepada peminat yang terus mempertahankan usaha anak buah Marcelino walaupun musim ini tampak bakal berakhir dengan kekecewaan.

"Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana tidak membiarkan kami jatuh di permulaan musim serta apabila segalanya tidak menjadi," ujar Domenech.

"Saya mengimpikan untuk menjulang trofi bersama Valencia sewaktu kecil. Saya peminat setia Valencia dan gembira nama saya berada dalam sejarah kelab selamanya."

Pemain tengah, Carlos Soler, yang melakukan bantuan jaringan sewaktu Rodrigo meletakkan nama dalam senarai penjaring, menambah: "Saya pitam kerana meraikannya!

"Saya menunggu sejak sekian lama untuk detik seperti ini. Ia adalah satu impian."