MALTA 0 SEPANYOL 2

Alvaro Morata mendedikasikan kemenangan 2-0 Sepanyol ke atas Malta dalam saingan Kumpulan F, pusingan kelayakan Euro 2020 di Ta'Qali, awal pagi tadi, kepada ketua jurulatihnya, Luis Enrique, yang tepaksa melepaskan aksi itu ekoran masalah keluarga.


Terdahulu, Enrique diumumkan tidak akan menyertai kunjungan ke Malta itu dengan Roberto Moreno akan mengambil alih pasukan.

Morata menjaringkan kedua-dua gol -- yang tidak menarik -- dalam kemenangan itu dan bintang Atletico Madrid berkenaan mendedikasikan kejayaan tersebut buat Enrique.

"Kami sentiasa menginginkan kemenangan dan sanggup melakukan segala-galanya, namun hari ini, kami memperoleh lebih motivasi," katanya seperti yang dipetik AS.

"Kami mahu memenanginya untuk jurulatih kami. Dia layak untuk menerimanya dan kami akan sentiasa bersama-samanya.

"Dia tahu betapa gembiranya saya untuk berada di sini.

"Kami mahu melayakkan diri secepat mungkin dan ia merupakan kemenangan yang penting.

"Kami memenangi aksi di gelanggang lawan dan ia melonjakkan kedudukan kami," katanya.

Sementara itu, Marco Asensio berasakan aksi hambar Sepanyol turut berpunca daripada ketiadaan Enrique.

"Ia akan berlaku apabila jurulatih tidak bersama kami.

"Kami memberikan pelukan dan kemenangan ini untuknya," kata bintang Real Madrid itu.

Dengan kemenangan itu, Sepanyol kini melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan F dengan enam mata daripada dua perlawanan.