Kem latihan selama 26 hari di Qatar atau Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Itu perkembangan terkini melibatkan skuad B-19 negara, yang dijadualkan untuk melalui kem pendedahan secara total sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan Kejohahan AFC B-19 di Kemboja, November depan.

Jika sebelum ini skuad kendalian Brad Maloney itu hanya memiliki persediaan selama 12 hari menjelang Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh baru-baru lalu, mereka kini diberikan peluang untuk mendapatkan pendedahan dengan tempoh yang lebih lama.

Dengan merangka kem latihan, termasuk beberapa aksi persahabatan dalam tempoh 26 hari di tiga negara berbeza, persediaan skuad pelapis itu dianggap amat istimewa.

"Bila pada had umur yang rendah, kem yang panjang dapat memastikan fizikal dan taktikal yang diperlukan oleh jurulatih untuk mencorakkan permainan yang diperlukan.

"Ia merupakan pasukan baru buat jurulatih Brad.

"Keserasian (di antara) jurulatih dan pemain daripada kekuatan dan kelemahan yang dapat dilihat dalam Kejohanan AFF lalu, mungkin jurulatih ada perancangan yang tersendiri.

"Jadi, penambahan latihan selama 26 hari itu mungkin diperlukan jurulatih untuk menambah baik pasukan," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Mungkin ia adalah masa yang sesuai untuk Maloney memperkemaskan formasi bola sepak moden pasukannya, yang gagal menerbitkan rasa puas hati Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter De Roo, dalam Kejohanan AFF sebelum ini.

Dalam masa sama, seramai enam pemain daripada skuad berkenaan melepasi sesi pemilihan FAM untuk diberikan peluang beraksi dalam saingan Liga Jepun.

Tegas Stuart lagi, dua pendedahan melibatkan pemain B-19 negara itu umpama bonus buat Maloney untuk mempersiapkan pasukan.

"Sekarang, JFA (Persatuan Bolasepak Jepun) ada mencadangkan dua, tiga kelab tetapi mereka sedang berhubung dengan kelab itu mengikut tarikh yang ditetapkan sebab kami ada enam, tujuh nama dan mereka tidak boleh pergi ke kelab yang sama.

"Mungkin mereka akan dibahagikan dan JFA sedang memuktamadkannya.

"Kami juga mahu memastikan persediaan pemain tidak terjejas dengan musim sejuk di sana," tambahnya.