Menjelang aksi play-off kelayakan Piala Dunia 2022, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menganggap barisan pemain yang bakal dipanggil kelak lebih berkualiti menerusi kelibat empat pemain yang menjadi rebutan -- Syahmi Safari, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba.

Cheng Hoe sebelum ini perlu melepaskan khidmat keempat-empat mereka berikutan tugasan dalam kelayakan Kejohanan AFC B-23 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swe.

Harimau Malaya yang gagal menempatkan diri dalam ranking 34 terbaik Asia berikutan kegagalan merealisasikan misi dalam Piala Airmarine 2019, diundi bertemu Timor Leste bagi aksi play-off kelayakan, 6 dan 11 Jun depan.

"Untuk aksi play-off menentang Timor Leste, saya harap dapat menurunkan barisan terbaik.

"Saya berkemungkinan besar dapat menyenaraikan semula tonggak skuad B-22 negara dan kehadiran mereka sedikit-sebanyak akan memantapkan pasukan kebangsaan.

"Saya mahu pemain-pemain fokus terhadap latihan dan mereka perlu berikan komitmen 100 peratus," katanya.

Cheng Hoe, bagaimanapun, enggan menganggap kehadiran Syahmi, Akhyar, Safawi dan Syamer akan mengubah prestasi Harimau Malaya dalam sekelip mata.

Beliau sebaliknya memberi bayangan akan membuat pemilihan berdasarkan prestasi dalam liga.

"Keempat-empat pemain berkenaan pernah bersama skuad senior dalam Piala AFF 2018 dan mereka memberikan impak terbaik, sama seperti pemain-pemain yang lain.

"Namun, sesetengah pihak mengatakan pemain senior sudah tidak lagi relevan untuk mewakili pasukan kebangsaan tetapi prestasi mereka dalam liga juga memberi saya pilihan untuk membuat percaturan buat pasukan kebangsaan," ujarnya.