Kelayakan Piala Dunia: Sumareh tidak gentar pikul tekanan 

Oleh Staff Writer 12 Jun 2019 5375
Kelayakan Piala Dunia: Sumareh tidak gentar pikul tekanan 
Mohamadou Sumareh mengakui tekanan begitu berat tatkala panggilan skuad kebangsaan menuntut khidmatnya.

Namun, keserasiannya bersama barisan negara semakin berkembang dan ia penting menjelang aksi pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023, bermula September depan.

Pemain naturalisasi itu lega aksi kedua bertemu Timor Leste dalam play-off kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi seolah-olah jawapan kepada kemampuan sebenar pemain kelahiran Gambia itu.

Jika sebelum ini ada yang meragui kemampuannya, Sumareh pantas menafikan situasi itu.

Malah, pemain itu menegaskan dia sudah benar-benar sebahagian daripada skuad Malaysia, merujuk kepada keserasian dan kesediaannya untuk tugasan seterusnya.

"Sejak kali pertama menyertai pasukan ini, semua pihak menyambut saya sebagai sebuah keluarga dan kami bermain sebagai sebuah pasukan. 

"Biarpun kami datang daripada kelab yang berbeza, tetapi sebaik ke pangkuan ke pasukan kebangsaan, kami mengetepikan soal itu. 

"Pasukan ini semakin berkembang sejak Piala AFF 2018, tahniah atas usaha jurulatih, Tan Cheng Hoe," katanya. 

Setiap kali menyarung jersi kebangsaan sejak April tahun lalu, dia mengakui tekanan yang digalasnya tidak sama seperti pemain yang lain.

"Cheng Hoe ada berpesan, 'sahutnya sebagai satu cabaran, bukannya sebagai tekanan'.

"Pasukan akan sentiasa di belakang anda," katanya. 

Diberi kerakyatan dengan syarat membantu skuad senior Malaysia, ia menjadi amanat yang begitu besar buat Sumareh.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen