Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Vietnam tidak berpeluh di Gelora Bung Karno

Oleh Staff Writer 15 Oktober 2019 1739
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Vietnam tidak berpeluh di Gelora Bung Karno
INDONESIA 1 VIETNAM 3

Vietnam mudah melakar kemenangan 3-1 ke atas Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.


Ini merupakan kekalahan keempat Indonesia dalam saingan Kumpulan G, sekali gus terkeluar daripada saingan untuk melangkah ke Piala Dunia.

Skuad pelawat kendalian Park Hang-seo itu yang segar dengan kemenangan ke atas Malaysia 1-0, Khamis lalu, meneruskan momentum cemerlang apabila membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi Do Duy Manh.

Serangan demi serangan yang dilancarkan Vietnam memaksa pertahanan Indonesia melakukan kesilapan dengan memberikan sepakan penalti buat pasukan pelawat yang disempurnakan oleh Que Ngoc Hai pada minit ke-55.

Enam minit kemudian, Vietnam terus mempamerkan bisa apabila meledak jaringan ketiga dan kali ini menerusi Nguyen Tien Lin.

Usaha Indonesia mencari gol pertama terhasil apabila pemain gantian, Irfan Bachdim, mengurangkan defisit jaringan enam minit sebelum perlawanan tamat.

Vietnam gagal menambah jaringan selepas sekali lagi diberikan sepakan penalti, namun sepakan Do Hung Dong diselamatkan Muhammad Ridho di penghujung permainan.

Sementara itu, Thailand mencipta kejutan apabila mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 dalam satu lagi aksi di Bangkok.

Terasil Dangda membuka jaringan pada minit ke-26 sebelum UAE bangkit menayamakan kedudukan dalam masa tambahan separuh masa pertama hasil tandukan Ali Mabkhout.

Jaringan Ekanit Panya enam minit selepas perlawanan bersambung dalam babak kedua cukup untuk memastikan kemenangan anak buah Akira Nishino itu.

 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen