Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengakui skuadnya pernah berada dalam situasi sukar, namun apa yang membezakannya ketika ini adalah semangat pantang mengaku kalah yang menjadi kekuatan kepada Harimau Malaya.

Tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Itu yang ditekankan jurulatih berusia 51 tahun itu selepas mengakui dia bersama pasukannya pernah berada dalam situasi sukar pada suatu ketika dahulu.

Mereka sedang menikmati kejayaan mengatasi Sang Garuda malam tadi dan Thailand, Khamis lalu, di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas kekalahan dengan jurang kecil di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam kempen Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan lalu.

Cheng Hoe meletakkan keyakinan terhadap baki tiga perlawanan adalah waktu yang tepat baginya dan pasukan untuk menyinar.

"Ini semua mengenai soal kerja keras, tiada jalan pintas dalam perjalanan kami.

"Kami mempunyai keinginan untuk mendapatkan kemenangan dan kejayaan, itulah yang saya sentiasa pesan kepada pemain.

"Setiap kali (diwawancara), tiada benda lain yang ingin kami katakan (selain) daripada terus tingkatkan prestasi dan fokus bagi perlawanan akan datang," katanya malam tadi.

Dalam masa sama, pemangku jurulatih Indonesia, Yeyen Tumena, terpaksa akur dengan kelebihan Malaysia walaupun mempertahankan anak buahnya sudah berusaha keras untuk melunaskan dendam tewas di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, 5 September lalu.

"Malaysia hanya dapat bermain di bahagian sayap tetapi gagal untuk mengatasi kami di bahagian tengah.

"Bahkan pemain nombor 15 (Brendan Gan) selalu cuba untuk menembusi pertahanan tengah kami tetapi (gagal).

"Ketua pasukan kami (Yanto Basna) kecewa dengan tindakannya (melepaskan gol kedua) tetapi dia adalah pemain berbakat dan mempunyai masa depan yang cukup baik," kata Yeyen.

Sementara itu, insiden kekecohan yang tercetus di Stadium Nasional bermula dengan tindakan membaling botol minuman sebelum perlawanan dan keadaan menjadi lebih tegang sehingga membabitkan insiden membaling suar.

Mujur, keadaan berjaya dikawal anggota keselamatan, sekali gus mengelak insiden buruk seperti di Stadium Gelora Bung Karno kembali berulang.

Tindakan melayan provokasi penyokong pelawat seharusnya tidak dilakukan oleh penyokong negara untuk menunjukkan kematangan mereka sebagai penyokong bola sepak.

Justeru, apa yang berlaku itu amat mengecewakan kerana ia juga akan menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didenda oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).