VIETNAM 0 THAILAND 0

Hasrat Thailand untuk kembali ke landasan kemenangan lebur selepas sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan G saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi, sebentar tadi.


Dua jaringan tuan rumah yang diraih dalam setiap babak tetap memberikan kelegaan buat Thailand tatkala kedua-duanya dinafikan pengadil akibat kekasaran dan ofsaid.

Selepas tunduk 2-1 di tangan Malaysia dalam perlawanan terdahulu di Bukit Jalil, Khamis lalu, pengendali skuad Gajah Perang itu, Akira Nishino, kekal mempertaruhkan penggempur yang pernah berkelana di pentas LaLiga, Teerasil Dangda, di barisan depan tetapi kali ini meletakkan Kawin Thamsatchanan selaku penjaga gol utama menggantikan Siwarak Tedsungnoen.

Tuan rumah seharusnya mendahului seawal minit ketujuh sekiranya tandukan pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super untuk menyertai Perak, Nguyen Quang Hai, menemui sasaran.

Penjaga gawang Vietnam, Dang van Lam, muncul wira apabila menafikan sepakan penalti bek kiri lawan, Theerathon Bunmathan, pada minit ke-28 sebelum jaringan tuan rumah dibatalkan pengadil kerana mendakwa Kawin dikasari, tiga minit kemudian.

Vietnam yang menerima sentuhan jurulatih kelahiran Korea Selatan, Park Hang-seo, sekali lagi meraih gol pembukaan selepas enam minit aksi bersambung, namun ofsaid menafikan kegembiraan penyokong tuan rumah tatkala rembatan liar Nguyen Van Toan pada minit ke-52 menyelamatkan gawang Thailand daripada dibolosi.

Kemasukan Nguyen Cong Phuong dan penyerang veteran, Nguyen Ahn Duc, menyaksikan asakan bertali arus tuan rumah kekal tetapi ketumpulan penyudah menyaksikan gawang Thailand kebal daripada dibolosi, sekali gus membolehkan skuad Gajah Perang itu mencuri satu mata dari Hanoi.

Keputusan 0-0 di Stadium My Dinh itu menyaksikan Vietnam terus mengungguli carta Kumpulan G dengan 11 mata selepas lima perlawanan dan Thailand berada di tangga ketiga berbekalkan lapan mata tatkala Malaysia -- yang meraih mata kesembilan -- naik ke tangga kedua susulan kemenangan 2-0 ke atas Indonesia di Bukit Jalil.

Kredit foto: Foxsportsasia