MALAYSIA 2 INDONESIA 0

Safawi Rasid membuktikan mengapa dia berhak dijulang sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2019 apabila dua golnya memastikan Malaysia untuk menundukkan Indonesia 2-0 dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Selepas kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati, yang memperlihatkan Sang Garuda melakukan rombakan besar, kem Harimau Malaya dikejutkan apabila khidmat penjaga gol, Khairul Azhan Khalid, hanya bertahan sehingga minit ke-20 sebelum terpaksa dipapah keluar untuk digantikan dengan Farizal Marlias.

Dia terpaksa dikeluarkan selepas mengadu kesakitan di bahagian paha susulan bertindak cemerlang ketika menyekat percubaan Febri Hariyadi dalam pertembungan satu lawan satu sejurus sebelum itu.

Sepluh minit selepas itu, Safawi akhirnya membuktikan sentuhan berbisa pertamanya dalam perlawanan kelima kempen Kumpulan G itu apabila sepakan percumanya sedikit di luar kotak penalti melepasi jangkauan Muhammad Ridho Djazulie lalu terus menggegar jaring.

Sekali lagi, pelawat -- yang lebih gemar menyerap asakan -- mencetuskan kekhuatiran di kubu skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu selepas Farizal gagal mengeluarkan situasi sepakan percuma dengan baik apabila hanya dapat menepis tandukan Otavio Dutra pada minit ke-36.

Tetapi mujur ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, berada di atas garisan gol untuk menafikan sepakan susulan pemain naturalisasi Indonesia kelahiran Nigeria berusia 33 tahun, Greg Nwokolo.

Farizal sekali lagi ditegur Aidil ketika seminit menuju waktu rehat apabila gagal melakukan sepakan kemas sehingga mengenai pertahanan itu.

Cheng Hoe lantas membuat pertukaran sebaik sahaja keluar dari bilik persalinan dengan Norshahrul Idlan Talaha dimasukkan bagi menggantikan Akhyar Rashid yang kurang menyerlah.

Percaturan itu secara tidak langsung kembali meletakkan Mohamadou Sumareh, yang pada awalnya mengetuai serangan, ke sebelah kanan.

Seminit permainan bersambung, Safawi memberikan nafas lega kepada Harimau Malaya apabila dapat menyambung permainan biarpun sempat terbaring kesakitan ketika cuba membantu menyekat serangan Indonesia.

Peluang pertama negara dicetuskan oleh pemain tengah, Syamer Kutty Abba, sejurus sejam permainan apabila disajikan peluang oleh Norshahrul tetapi sepakannya di tengah kotak penalti meliar.

Pemain tengah negara, Brendan Gan, menebus kehampaannya digantung perlawanan untuk bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac tahun depan -- akibat layangan kad kuning oleh Pengadil Terbaik Asia 2018 dari Iran, Alireza Faghani -- menerusi percubaan rendah yang terpaksa ditepis Muhammad Ridho.

Harimau Malaya terus meningkatkan keamatan permainan dan akhirnya berjaya menggegar gawang skuad jurulatih sementara, Yeyen Tumena, itu buat kali kedua -- oleh siapa lagi kalau bukan Safawi.

Ia susulan kesilapan pertahanan merangkap ketua pasukan, Yanto Basna, yang cuba melindungi bola agar bergolek keluar di atas garisan belakang sudut kiri pintu golnya tetapi pemain kelahiran Dungun, Terengganu tersebut mencuri kesempatan berkenaan sebelum melepaskan rembatan padu.

Pada minit ke-82, Farizal memastikan rekod tanpa bolos pertama untuk skuad negara dalam kempen kali ini apabila menangkap kemas sepakan penalti lemah pemain naturalisasi gantian, Osas Marvelous Ikpefua.

Walaupun selesa dengan 2-0, skuad kebangsaan terus melancarkan asakan dan Safawi setidak-tidaknya memiliki tiga peluang menarik untuk melengkapkan hatriknya dalam perlawanan kelima itu bagi menutup aksi antarabangsa tahun ini dengan bergaya.

Dalam perkembangan sama, keputusan seri tanpa jaringan di antara Vietnam dan Thailand di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi membolehkan skuad negara melonjak ke tangga kedua kumpulan dengan mengumpul sembilan mata.

"Ini satu keputusan yang cemerlang. Pemain-pemain menunjukkan keyakinan dalam perlawanan.

"Pada awal permainan, kami ada membuat kesilapan daripada segi hantaran dan tekanan tetapi akhirnya kami dapat menjaringkan gol," kata Cheng Hoe selepas perlawanan.

Sementara itu, rakan sejawatannya, Yeyen, pula meluahkan: "Kami bermain mengikut apa yang telah dirancangkan.

"Kami melakukan beberapa kesilapan termasuk dalam gol kedua. Pemain telah bekerja keras dan saya menghargai usaha semua pemain.

"Saya ucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia yang bermain mudah tetapi tajam."