Penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, tampil dengan imej lebih garang sebagai strategi untuk berdepan Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini.

Penggempur Pahang itu mendapat suntikan keyakinan setelah kembali membuka akaun jaringan antarabangsa ketika menang 6-0 ke atas Sri Lanka dalam aksi persahabatan, Sabtu lalu.

Justeru, Norshahrul berharap mampu terus menggegar gawang lawan sekiranya membarisi kesebelasan dalam aksi pusingan kedua kempen itu.

"Saya sentiasa fikirkan mahu menjaringkan gol, tidak kira dengan mana-mana pasukan sekalipun, bukan hanya dengan Vietnam.

"Setiap penyerang yang diturunkan, dalam fikiran kami (pastinya) mahu menjaringkan gol. Yang penting, setakat ini kami tidak mempunyai masalah daripada segi latihan dan mental.

"Semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi Vietnam," katanya dalam persiapan terakhir di Hanoi, semalam.

Sungguhpun menghormati benteng skuad Naga Emas yang bakal diperkuatkan dengan pemain SC Heerenveen dalam kancah Belanda, Doan Van Hau, ia sama sekali tidak melemahkan mereka untuk merobek kubu lawan itu bagi menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan di Hanoi.

"Mungkin itu salah satu kelebihan Vietnam.

"Tidak kira siapa yang akan menjaringkan gol kelak, kalau kami bermain secara sepasukan, Insya-Allah kami boleh bawa pulang kejayaan," katanya lagi.