"Usah terlalu yakin."

Itu teguran pemain senior negara, Norshahrul Idlan Talaha, kepada rakan sepasukannya agar tidak 'gigit jari' dalam pertemuan menentang Indonesia bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, malam esok.

Skuad negara berada dalam momentum terbaik untuk berdepan skuad Garuda itu selepas berjaya menundukkan Thailand 2-1, Khamis lalu.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu yang akan menerima sokongan padu penyokong sendiri, dijangka tidak berdepan masalah untuk menjinakkan skuad lawan.

Namun, Norshahrul enggan pemain negara dibuai dengan kejayaan lalu, sebaliknya fokus untuk melunaskan misi tiga mata di Stadium Nasional.

"Saya mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin. Apabila kami tundukkan Thailand, mungkin kami melihat Indonesia sebagai pasukan yang lemah tetapi bagi saya, mereka tetap kuat.

"Kami harus berwaspada dan tumpukan permainan mengikut taktikal jurulatih. Insya-Allah kami akan memperoleh kejayaan," katanya.

Penyerang berusia 33 tahun itu dicanang menggantikan Syafiq Ahmad untuk mengetuai jentera serangan Harimau Malaya berdepan Indonesia.

Meskipun masih bergelut dengan prestasi semasa, pemain yang mesra disapa Matyo itu tetap mempunyai keazaman untuk membuktikan sesuatu buat Malaysia.

"Panggilan skuad kebangsaan kali ini, saya beraksi ketika berdepan Sri Lanka dan Tajikistan untuk sekitar 10 minit. Saya perlu lebih fokus untuk pertemuan menentang Indonesia jika saya diturunkan."

Sementara itu, jurulatih sementara Indonesia, Yeyen Tumena, tampak tidak berselindung dengan misi pasukannya untuk membalas dendam ekoran kekalahan di tangan Malaysia menjelang pertemuan kedua-dua pasukan malam esok.

Kekalahan 3-2 yang dialami sewaktu melayan kunjungan Harimau Malaya di Jakarta bagi aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, September lalu jelas masih terkesan buat skuad negara jiran itu.

Justeru, pengendali sementara skuad Garuda itu mahu anak buahnya tampil membalas dendam, sekali gus meraih kemenangan pertama tatkala mereka kini menduduki tangga tercorot Kumpulan G tanpa sebarang mata.

"Saya hanya ucapkan Bismillah dan kami akan lakukan yang terbaik," katanya.

"Setiap pertandingan memiliki tekanannya. Kami akan berdepan situasi sama ada menang atau kalah. Jadi, kami harus hadapi tekanan itu, tidak kira menang atau kalah."