Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengesahkan Kuwait sebagai pasukan ujian seterusnya buat skuad senior negara sebelum bertemu Thailand, Jun depan.

Selepas Bahrain, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu bakal diuji Kuwait dalam aksi persahabatan sebelum bertemu Thailand bagi aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pasukan di tangga ke-147 dunia itu dianggap sebagai lawan bukan mudah berdasarkan fizikal mereka yang lebih besar berbanding pemain Malaysia.

Namun, ia adalah pelantar terbaik sebagai persediaan Harimau Malaya sebelum berhadapan skuad Gajah Perang yang dianggap sebagai pasukan pilihan menjelang aksi itu.

"Kami baru terima berita daripada Kuwait bahawa kami mungkin akan mengadakan perlawanan persahabatan, Jun depan, sebelum beraksi di Thailand.

"Kami mungkin mengharungi perlawanan persahabatan di tempat sendiri sebelum berlepas ke Bangkok," katanya.

Pasukan dari Timur Tengah menjadi pilihan FAM sejak akhir-akhir ini dan langkah itu dianggap sebagai positif dalam usaha memantapkan pasukan.

"Kami bukan sahaja menumpukan perhatian kepada (usaha memperbaiki) ranking tetapi perlawanan yang mencabar.

"Ia diharap memberi pengalaman dan persediaan kepada pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya."


Editor: Shaiful Shamsudin