Posisi penjaga gol utama skuad kebangsaan kini menjadi tumpuan menjelang pertembungan Malaysia dengan Thailand dan Indonesia dalam aksi Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Aksi cemerlang penjaga gol Selangor, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, dalam kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, Sabtu lalu, menyaksikan dia berpotensi menggugat kedudukan Mohd Farizal Marlias di posisi itu.

Farizal dibolosi lima gol dalam tiga aksi pertama Kumpulan G dan bagi ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, tiada jaminan buat mana-mana pemain untuk kekal dalam kesebelasan utama pasukannya.

“Dalam kesebelasan utama atau senarai skuad 23 pemain, semua (pemain) tiada jaminan 100 peratus tetapi kita memang mempunyai pemain utama dan kesebelasan yang kita rasa boleh memberi sesuatu kepada pasukan.

"Setiap pemain mengetahui setiap kali datang ke kem latihan, mereka perlu bersaing secara sihat dan ia amat bagus. Kami ada dua hari lagi untuk mencari kesebelasan terbaik untuk menentang Thailand,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.

Selepas hampir dua tahun, Khairul Azhan kembali ke dalam skuad kebangsaan apabila disenaraikan dalam senarai 26 pemain yang dipanggil untuk berdepan Vietnam bulan lealu, namun hanya memanaskan bangku simpanan.

“Tiada masalah (menjadi penjaga gol utama). Kalau jurulatih memberi kepercayaan, saya akan balas balik tetapi ia mungkin sukar, namun saya akan memberikan 100 peratus komitmen terhadap perlawanan jika diturunkan,” katanya.

Selain ketajaman jentera serangan, kekebalan benteng pertahanan turut memainkan peranan penting bagi memastikan enam mata penuh dapat diraih skuad kebangsaan untuk kembali bersaing merebut slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Malaysia kini mengumpul tiga mata dan menduduki tangga keempat dalam Kumpulan G, dibezakan empat mata dengan pendahulu, Thailand, yang berkongsi mata dengan Vietnam.

Malaysia melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta sebelum tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil dan tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi, bulan lalu.

-- BERNAMA