Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mempertahankan barisan sedia ada dan tidak akan melakukan rombakan mengejut menjelang dua perlawanan getir di laman sendiri bulan depan biarpun persembahan Harimau Malaya dikritik susulan kurang idea kreatif di bahagian tengah.

Skuad negara selamat tiba ke tanah air petang tadi dan tempoh sebulan berikut akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membuat analisis terhadap dua lawan akan datang yang akan ditempuhi di laman sendiri.

Malaysia akan melayan kunjungan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil 14 November depan sebelum menerima kehadiran Indonesia, lima hari kemudian.

Chong Hoe menegaskan dia tidak akan membuat perubahan drastik terhadap senarai pemain sedia ada kecuali masih memantau perkembangan kecergasan arkitek tengah Pahang, Nor Azam Azih, yang jelas diratapi kehilangannya ketika menentang Vietnam, semalam.

Sebelum ini, Nor Azam dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan.

"Disebabkan prestasi keseluruhan pasukan tidak berada di tahap terbaik, kami meraih kekalahan. Memang kami mengharapkan Nor Azam cepat pulih kerana dia boleh mengisi kesebelasan utama pasukan," ujar bekas pengendali Kedah itu.

Empat tonggak berdarah kacukan dan naturalisasi yang terdiri daripada Brendan Gan, Corbin Ong, Matthew Davies serta Mohamadou Sumareh dianggap penting untuk kestabilan skuad sedia ada biarpun terdapat komen sinis Vietnam bahawa kehadiran mereka masih belum mampu menggugat reputasi pasukan Naga Emas itu.

"Keseluruhannya, saya sering mengingatkan pasukan bukan terletak kepada 11 pemain sahaja, sebaliknya kami memiliki 23 pemain yang sentiasa bersedia menyarung jersi kebangsaan," tambah Cheng Hoe.