Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, bertindak menjadi 'pengintip' skuad Harimau Malaya apabila mengesahkan kehadirannya dalam perlawanan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di antara Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Thammasat, esok.

Cheng Hoe tampak tidak senang duduk susulan kekalahan 0-1 pasukannya di tangan Vietnam di Hanoi, Khamis lalu.

Apa tidaknya, kekalahan itu menyukarkan laluan Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2023 menerusi kempen kelayakan ini.

Justeru, Cheng Hoe yang tiada pilihan kini terpaksa melakukan lebih banyak kerja rumah menjelang ujian getir menentang Thailand di laman sendiri, bulan depan.

"Kami masih lagi cuba meneliti kemampuan Thailand kerana mereka kini dibimbing jurulatih baru dan ia menyukarkan kami mengenali corak permainan mereka," katanya.

Risikan awal ke atas Thailand adalah untuk mengenal pasti kelemahan lawan sebelum kedua-dua pasukan berentap dalam kempen kelayakan kali ini.

Menariknya, Cheng Hoe akan melakukan risikan itu seorang diri tanpa ditemani sesiapa, termasuk penolong jurulatihnya, S. Balachandran.

"Thailand semestinya bakal menampilkan permainan yang berbeza dan kami perlu mengenal pastinya secepat mungkin."

Sementara itu, Cheng Hoe kekal dengan pendiriannya untuk tidak terburu-buru menyenaraikan Luqman Hakim Shamsudin dalam skuad senior kebangsaan bagi kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Sebaliknya, pengendali berusia 51 tahun itu mahu melihat kemampuan pemain berusia 17 tahun itu dalam Kejohanan AFC B-19 Tahun di Kemboja dan Sukan SEA Filipina bulan depan.

"Kami perlu melihat perkembangan permainan Luqman terlebih dahulu sebelum menyerapnya dalam skuad kebangsaan," tambah Cheng Hoe.

Isu pemilihan Luqman menjadi perdebatan susulan ketumpulan jentera serangan skuad kebangsaan ketika bertemu Vietnam minggu lalu.

Ia mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk bekas pengendali skuad negara, B. Sathianathan, dan pemerhati bola sepak negara.

"Siapa yang mampu memberi jaminan kepada Cheng Hoe jika Luqman diserap ke dalam skuad kebangsaan, dia akan menjaringkan gol? Jika ada, bonus boleh diberikan kepada individu tersebut," ujar Sathianathan.

"Luqman merupakan seorang pemain yang mampu melakukan larian pantas dan kawalan bola yang baik. Cuma pendedahan beraksi di pentas antarabangsa masih kurang serta persiapan pemain itu daripada segi mental sangat penting," kata Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohad Anizu Mohd Nor.