Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menegaskan pasukan kebangsaan tidak dilanda tekanan menjelang pertemuan dengan Thailand dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 walaupun mengadakan perlawanan tertutup menentang Maldives.

Skuad kebangsaan mengadakan satu perlawanan ujian menentang Maldives secara tertutup di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Walaupun didakwa tindakan sebegitu mempamerkan skuad negara di bawah tekanan, Cheng Hoe menjelaskan ia hanya untuk menilai prestasi pemain yang tidak beraksi ketika final Piala Malaysia.

"Perlawanan malam tadi bukanlah bererti kami berasa tertekan.

"Cuma saya mahu menilai pemain-pemain yang tidak dapat bermain dalam perlawanan separuh akhir dan final Piala Malaysia. Saya mahu melihat mereka daripada segi momentum dan kecergasan permainan.

"Secara keseluruhannya, saya mendapati mereka bermain dengan baik," katanya di Bukit Jalil, petang tadi.

Tambah bekas jurulatih dari Kedah itu, pemain-pemain yang beraksi ketika separuh akhir dan final Piala Malaysia telahpun melaporkan diri dan kesemuanya pemain berada di tahap terbaik.

"Saya tidak melihat kepada keputusan perlawanan itu, sebaliknya saya mahu melihat keserasian pemain-pemain yang baru melaporkan diri dan mereka dapat bermain baik sebagai sebuah pasukan."

Malaysia menang 2-1 ke atas Maldives hasil jaringan Syahmi Safari dan Baddrol Bakhtiar, sekali gus menjadi suntikan semangat buat skuad negara menjelang dua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini.