Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Afiq, Baddrol cetus harapan buat Cheng Hoe

Oleh Staff Writer 8 November 2019 143
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Afiq, Baddrol cetus harapan buat Cheng Hoe
Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, memberi bayangan kelibat Afiq Fazail dan Baddrol Bakhtiar akan dipertaruhkan menentang Tajikistan sebagai formula terbaik sebelum menghadapi Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Cheng Hoe kini giat membentuk semula skuad ampuh selepas pasukannya gagal bermain baik ketika tewas 1-0 kepada Vietnam di Hanoi, bulan lalu.

Menyuntik nafas baru menerusi kelibat Afiq dan Baddrol, dua 'arkitek' finalis Piala Malaysia itu ditagih memberi impak berbeza buat skuad Harimau Malaya.

Harapan itu disuarakan Cheng Hoe apabila pasukannya turun menentang Tajikistan esok sebagai aksi pemanas badan sebelum berdepan Thailand.

"Perlawanan dengan Tajikistan bakal menjadi medan menilai mutu permainan pasukan selepas gagal beraksi cemerlang ketika bertemu Vietnam sebelum ini. Tetapi kami menjangkakan perlawanan yang berbeza dan kesemuanya bersemangat untuk turun berdepan Thailand nanti," kata Cheng Hoe.

Kehadiran Afiq dan Baddrol menghadirkan persaingan sengit dalam kalangan pemain tengah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bertemu Tajikistan.

Begitupun, Nor Azam Azih selaku tonggak tengah melihat situasi itu sebagai perkara positif menjelang dua aksi penting dalam kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

"Gandingan pemain muda dan baru adalah satu keputusan yang tepat dilakukan oleh Cheng Hoe dan saya percaya kami mampu menghasilkan permainan yang cemerlang ketika berdepan Thailand," katanya.

Sementara itu, jurulatih Tajikistan, Usmon Toshev, menyifatkan pertemuan menentang Malaysia sebagai medan menguji kekuatan pasukannya untuk menghadapi Myanmar dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Ini susulan pasukan itu sudah lama tidak beraksi bertemu pasukan dari Asia Tenggara yang sememangnya menampilkan corak permainan berbeza dengan negara Asia lain.

"Ya, perlawanan menentang Malaysia akan memberi gambaran mengenai kekuatan pasukan Myanmar di mana pasukan-pasukan seperti ini memiliki pemain yang laju dan pantas. Jadi, saya harap perlawanan itu memberi manfaat kepada pasukan kami untuk terbang ke Myanmar."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen