Kelayakan Piala Dunia: Korea Selatan penuh semangat ke Pyongyang

Oleh Staff Writer 15 Oktober 2019 396
Kelayakan Piala Dunia: Korea Selatan penuh semangat ke Pyongyang
Skuad kebangsaan Korea Selatan positif untuk menghadapi aksi bersejarah kelayakan Piala Dunia menentang Korea Utara di Pyongyang petang ini, kata pengendali pasukan, Paulo Bento.

Pendahulu Kumpulan H itu bakal mengharungi aksi kompetitif pertama berdepan negara jiran itu.

Kali terakhir Pyongyang menerima kunjungan The Taegeuk Warriors itu adalah dalam aksi persahabatan pada 1990 tatkala Shanghai menjadi destinasi laman sendiri buat Korea Utara bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2010.

Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, yang beraksi sejam sewaktu menundukkan Sri Lanka 8-0, Khamis lalu, dijangka berada dalam kesebelasan utama buat Korea Selatan bagi aksi di Stadium Kim Il-sung itu.

"Saya rasa bagus. Pemain kami mempersiapkan diri dengan baik dan seluruh pasukan berada dalam situasi baik," kata Bento.

"Selain itu, pemain kami juga berada dalam keadaan fizikal yang baik.

"Apa yang penting buat kami adalah memiliki semua pemain yang sihat sebelum turun beraksi."

Aksi petang itu bakal diadakan tatkala perbincangan melibatkan Amerika Syarikat dan Korea Utara mengenai ujian peluru berpandu sedang dijalankan.

Media tempatan melaporkan pertemuan itu tidak akan ditayangkan di kaca televisyen.

Bek tengah, Kim Min-jae, menggesa rakan sepasukannya agar mengharungi perlawanan tersebut sama seperti aksi lain.

"Ia aksi pertama di Pyongyang tetapi ia sama seperti perlawanan lain," ujar pertahanan Beijing Guoan itu.

"Saya fikir ia satu pengalaman."

Kedua-dua pasukan itu terikat enam mata selepas dua perlawanan dalam fasa kedua saingan kelayakan Piala Dunia 2022 peringkat Asia.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen