Skuad Harimau Malaya tidak akan terbang ke Dili, Timor Leste selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan aksi play-off kedua pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 akan diadakan di Kuala Lumpur, 11 Jun depan.

Sebelum ini, venue menentang Timor Leste dalam aksi kedua itu menjadi tanda tanya selepas Stadium Perbandaran Dili tidak memenuhi kriteria untuk mengadakan perlawanan antarabangsa.

Ketika FAM sedia membantu, skuad Harimau Malaya menerima perkhabaran gembira apabila Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) bersetuju untuk kedua-dua perlawanan itu kekal dilangsungkan di venue sama.

"Kami telah menerima maklum balas daripada pihak FFTL melalui e-mel di mana mereka bersetuju untuk mengadakan perlawanan kedua di Kuala Lumpur," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Timor Leste pernah menjadikan stadium di Malaysia sebagai gelanggang rasmi mereka, antaranya dalam pusingan play-off kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Larkin pada 2016.

Selain pengesahan itu, FAM sedang menunggu lampu hijau daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung permohonan untuk menangguhkan aksi pertama sehari daripada jadual asal.

"Pihak FFTL juga bersetuju dengan cadangan FAM untuk mengadakan perlawanan pada 7 Jun, namun ia memerlukan persetujuan daripada pihak AFC," tambahnya.