"Raya boleh diraikan setiap tahun, kelayakan Piala Dunia 2022 kena tunggu empat tahun sekali."

Demikian reaksi jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, yang mengharapkan anak buahnya tidak mencipta pelbagai alasan ekoran aksi itu bakal berlangsung ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Cheng Hoe belum menerima sebarang aduan daripada anak buahnya berkaitan situasi terbabit setakat ini.

Namun, dia menjangkakan setiap pemain tahu pengorbanan yang perlu dilaksanakan demi kepentingan skuad senior negara.

Apa yang pasti, Cheng Hoe lega tiada kecederaan berlaku melibatkan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah yang baru sahaja mengharungi aksi Liga Super, malam tadi.

Hanya pemain tengah Selangor, Syahmi Safari, yang ditimpa kecederaan ketika saingan liga dan mungkin memaksanya diketepikan untuk menentang Nepal dalam aksi persahabatan 2 Jun ini.

"Barisan pemain sudah cukup profesional kerana setiap tahun pun kita boleh berhari raya tetapi Piala Dunia hanya berlangsung empat tahun sekali.

"Justeru, kita tidak boleh melepaskan peluang terbaik. Lagipun pemain sendiri tidak tahu sama ada mereka masih aktif beraksi atau tidak.

"Saya harap pemain anggap ini bukan satu tekanan buat mereka," tambahnya..

Dalam masa sama, Cheng Hoe masih belum mahu berkongsi siapakah individu yang selayaknya menggantikan kedudukan bekas kapten negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang tidak terpilih untuk mengikuti kem latihan kebangsaan kali ini.

"Setakat ini, semuanya positif, cuma Syahmi dibelenggu masalah pergelangan kaki.

"Saya akan memuktamadkan senarai pemain selepas ini," jelasnya.

Untuk rekod, kali terakhir Harimau Malaya berdepan Nepal adalah pada 2008 dengan lima kemenangan dicipta dalam enam pertemuan sejak 1983.