Kelayakan Piala Dunia: Cheng Hoe tunggu keputusan undian dahulu

Oleh Staff Writer 18 Jun 2019 2883
Kelayakan Piala Dunia: Cheng Hoe tunggu keputusan undian dahulu
Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, perlu menunggu sehingga selesai undian pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 pada 17 Julai ini sebelum memasang sebarang strategi bagi saingan yang akan bermula awal September depan.

Terdapat dua kesukaran yang perlu diharungi Cheng Hoe menjelang saingan berkenaan.

Pertama ialah kekangan untuk mendapatkan aksi persahabatan dalam tempoh 18 Julai hingga September depan ekoran ketiadaan slot berkenaan dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ia sekali gus menyukarkannya untuk mengumpulkan pemain yang sedang sibuk dengan saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

"Kami berharap dapat mengadakan satu perlawanan persahabatan sebelum menghadapi mana-mana pasukan dalam kelayakan Piala Dunia.

"Kami sedar kami memerlukannya untuk memanaskan badan sebelum menghadapi sebarang perlawanan kompetitif," katanya.

Pengendali itu terpaksa menunggu sehingga selesai undian berkenaan untuk merangka mana-mana pertemuan yang bersesuaian bagi mengelakkan perlawanan dengan pasukan yang berada dalam kumpulan yang sama.

Namun, perancangan itu akan berbalik kepada kerjasama yang akan diberikan kelab dan persatuan dalam Liga Malaysia untuk melepaskan pemain lebih awal.

"Kita akan mengetahuinya selepas undian Julai nanti tentang sejauh mana kami boleh pergi tetapi apa yang penting, saya mahu kami fokus daripada satu perlawanan kepada satu perlawanan.

"Ia adalah misi kami dan jika kami mendapatkan keputusan yang positif dalam setiap perlawanan, harapan itu ada," tambahnya.

Walaupun ketua jurulatih skuad Harimau Malaya berkenaan menegaskan slot untuk membarisi pasukan utamanya masih terbuka luas, namun 23 pemain yang terpilih sebelum ini adalah bayangan sebenar kekuatan skuad negara.

Apa yang telah dibuktikan pemain negara sebelum ini memberikan gambaran jelas bahawa ramuan Cheng Hoe sudah menepati cita rasa yang dimahukannya.

"23 pemain yang tersenarai tempoh hari telah memberikan keputusan positif.

"Kami berharap mereka dapat mengekalkan prestasi dalam liga dan kalau ada pemain (lain) yang menyerlah dalam liga, kami akan memberikan mereka peluang.

"Setiap pemain perlu melakukan latihan tambahan ketika ini kerana kami tidak mempunyai banyak masa dalam sesi latihan kebangsaan.

"Kami hanya fokus dalam taktikal untuk lawan yang akan dihadapi nanti," tambahnya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen