Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menuntut rangkaian pemain yang berada dalam radar skuad negara bersedia sepenuhnya menjelang kudrat yang akan dikerah September depan.

Misi negara dalam aksi play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 bertemu Timor Leste menghadirkan dua definisi buat skuad negara.

Yang pertamanya, untuk mencari slot kelayakan di peringkat kumpulan, seterusnya pentas untuk menilai prestasi semasa pemainnya memandangkan ujian getir menanti mereka bermula September depan.

Dengan undian kelayakan peringkat kumpulan Piala Dunia akan diadakan di Doha, Qatar, bulan depan, Cheng Hoe tidak teragak-agak untuk melabel anak buahnya sebagai sudah bersedia.

"Saya sudah menasihati pemain supaya bersedia untuk peringkat seterusnya kerana ia bukan mudah dan kemungkinan besar kami akan menghadapi negara besar seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Qatar.

"Tekanannya pasti lebih tinggi," katanya.

Cheng Hoe tidak terburu-buru dalam menilai barisan yang dimilikinya, namun dengan prestasi sedia ada di samping kesebelasan terbaik yang dimilikinya ketika ini, kekuatan skuad kebangsaan semakin berkembang.

Namun, itu tidak bermaksud bekas pengendali Kedah itu sudah menutup pintu memandangkan sesi tinjauan prestasi pemain kekal akan dijalankan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersambung Jumaat ini.

"Kami mempunyai beberapa pilihan lain untuk menggantikan posisi Matthew Davies seperti Syahmi Safari dan Rizal Ghazali.

"Ia posisi yang tidak membimbangkan kami dan ketiga-tiganya saling diberi peluang untuk tampil bersama skuad negara," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih Timor Leste, Norio Tsukitate, enggan kenduri gol Malaysia ke atas anak buahnya dianggap sebagai kegagalan skuad yang baru dibentuk itu.

Malah, jurulatih kelahiran Jepun itu kekal optimis bahawa banyak pengalaman yang sedang dikutip pemain dalam dua aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Ia juga pelantar persediaan yang baik untuk barisan mudanya melewati persediaan awal menjelang saingan Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

"Kami memerlukan keyakinan dan apabila berdepan sedikit tekanan, pemain mula berasa gentar.

"Pemain saya mempunyai hantaran dan teknik yang baik tetapi saya tidak mahu mereka panik dan perlu lebih bertenang," kata Tsukitate.