Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tetap mengharapkan tuah undian dalam pusingan play-off pertama kelayakan Piala Dunia 2022 zon Asia walaupun Malaysia diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk melepasi cabaran itu.

Selepas gagal tersenarai dalam kelompok 34 pasukan terbaik Asia, Malaysia terpaksa mengharungi pusingan play-off.

Skuad Harimau Malaya akan menantikan nasib mereka dalam majlis undian di Ibu Pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, esok.

Malaysia akan diundi untuk berdepan sama ada Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan atau Sri Lanka yang diletakkan dalam Balang 2.

Balang 1 pula terdiri daripada Kemboja, Macau, Laos, Bhutan dan Mongolia.

Malaysia berpeluang cerah untuk melepasi halangan itu, namun segala-galanya boleh terjadi memandangkan perlawanan berkenaan akan dilangsungkan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Aksi play-off kelayakan Piala Dunia cukup penting dan kami perlu melakukan persediaan terbaik untuk memenangi perlawanan itu.

"Kami tidak boleh mengambil mudah sebarang lawan kerana ia pasti bukan mudah memandangkan setiap pasukan akan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi saingan itu," katanya.