Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan skuad Harimau Malaya tidak boleh mengambil mudah cabaran tiga seteru Asia Tenggara serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023.

Syed Saddiq berharap skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tidak melepaskan peluang untuk sekurang-kurangnya mara ke saingan Piala Asia 2023 selepas diundi dalam Kumpulan G.

Bagaimanapun, beliau menganggap pasukan Indonesia, Thailand dan Vietnam yang pernah berentap dengan skuad negara sebelum ini mampu memberikan cabaran lebih sengit.

"Pasukan yang bakal kita hadapi agak kuat dan kita pernah berentap dengan mereka, ada menang dan ada yang kalah.

"Tetapi Alhamdulillah (undian ini berpihak kepada skuad negara)," katanya yang ditemui ketika lawatan ke Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN), Bukit Jalil, apabila berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan untuk barisan atlet dan orang awam yang ingin mendapatkan rawatan.

Beliau juga berharap kemudahan perkhidmatan itu mampu diperkembangkan lagi pada masa akan datang.

"Untuk jangka masa panjang, kami mahu bekerjasama dengan sektor swasta sebagai penjenamaan mereka.

"Kami akan tumpu kepada satu persatu negeri dan pada masa yang sama, saya telah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menubuhkan sebuah hospital sukan berhampiran Stadium Jalan Raja Muda dan kami akan bekerjasama dengan sektor swasta supaya Institut Sukan Negara (ISN) dapat diperkukuhkan," katanya lagi.