Penjaga gol negara, Khairul Azhan Khalid, menganggap kemunculan semula bersama skuad negara selaku pilihan utama umpama 'mati hidup semula'.

Penjaga gol Selangor itu juga antara watak penting yang mencorakkan kemenangan 2-1 Malaysia ke atas Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu.

Mengikut perkiraan mudah, pemain berketinggian 182sm itu boleh dilabelkan sebagai pilihan untuk sekali lagi diberi mandat mengemudi pintu gol negara menjelang pertemuan dengan Indonesia di venue yang sama, Selasa ini.

Sedar dengan perhatian yang diberikan, Khairul Azhan mengakui dia sudah belajar untuk tidak bermegah, merujuk kepada pengalaman lalu ketika bersama skuad kebangsaan.

"Saya pernah takut dengan pujian seperti di laman sosial peribadi.

"Kadang-kadang ia boleh membuatkan pemain (bersikap) meninggi diri atau menjatuhkan (prestasi) pemain," katanya dalam sesi latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pagi tadi.

Kali terakhir pemain kelahiran Kuantan, Pahang, itu dipanggil bersama skuad negara adalah ketika era Nelo Vingada selaku ketua jurulatih.

Sehubungan itu, dia bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan menyerlah,kan aksi memukau di atas padang.

"Saya juga sedar prestasi saya bersama Selangor juga terumbang-ambing.

"Jadi, saya bertekad bekerja keras untuk mendapatkan tempat dan Alhamdulillah berjaya."