Penyokong bola sepak tempatan dinasihatkan tidak menjual tiket yang dibeli mereka kepada penyokong Indonesia apabila kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Nasihat itu diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tidak berlakunya masalah, terutama daripada segi keselamatan, serta aliran masuk penyokong kedua-dua pasukan ke stadium pada hari perlawanan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mendakwa 5,000 penyokong Thailand menyaksikan perlawanan kelayakan di antara Malaysia dan Thailand di venue yang sama pada Khamis lalu walaupun FAM hanya memperuntukkan 2,500 tiket kepada penyokong pasukan pelawat.

“Ia berpunca daripada sikap segelintir warga bola sepak Malaysia sendiri yang 'membantu' penyokong pelawat membeli tiket menggunakan kuota kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah (Malaysia) untuk masuk ke stadium, sekali gus menyukarkan pihak keselamatan menempatkan penyokong pelawat di tempat sepatutnya.

“Justeru, bagi mengelak perkara sama berulang dalam perlawanan di antara Malaysia dan Indonesia, FAM dan PDRM sekali lagi menasihatkan warga bola sepak Malaysia supaya tidak menjadi punca kepada masalah ini dengan mengambil sikap bertanggungjawab tidak menjual hak penyokong Malaysia ini kepada penyokong pelawat,” kata Stuart menerusi hantaran terbaru dalam di laman Facebook FAM hari ini.

Beliau percaya masalah sama tidak akan berulang sekiranya semua pihak memberi kerjasama dalam menangani isu tersebut.

Stuart memaklumkan FAM memperuntukkan 4,500 tiket bagi penyokong pasukan pelawat seperti dimohon Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi perlawanan Selasa ini, sambil menambah penjualan tiket berkenaan akan diuruskan sendiri oleh PSSI.

Beliau menjelaskan penyokong skuad Harimau Malaya masih boleh membeli tiket perlawanan di www.tickethotline.com.my, namun hanya untuk tempat duduk terbuka memandangkan tiket bagi tempat duduk utama (grandstand) dan premium telah habis dijual.

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan enam mata manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.

Untuk rekod, Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, 5 September lalu.

-- BERNAMA