Empat hari menjelang pertemuan dengan Indonesia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini, skuad Harimau Malaya berdepan krisis kecederaan dan penggantungan beberapa pemain.

Penyerang, Syafiq Ahmad, dan bek kanan, Matthew Davies, sah terlepas aksi menentang Indonesia selepas masing-masing mengutip dua kad kuning dalam dua perlawanan menentang Vietnam dan Thailand manakala Syahmi Safari pula mengalami kecederaan pangkal paha ketika menentang Thailand, kelmarin.

Perkara berkenaan, bagaimanapun, tidak menggusarkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, yang masih percaya bahawa pemain sedia ada mampu menggalas tugas terbaik sekiranya diturunkan berdepan Indonesia kelak.

"Barisan kejurulatihan ketika ini tidak fikirkan untuk dapatkan pemain gantian dalam masa terdekat kerana kami tahu sekiranya saya panggil secara mengejut, saya risau ia akan memberi tekanan kepada pemain berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita dalam sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengingatkan barisan pemain negara supaya tidak leka dengan kemenangan mengejut 2-1 ke atas Thailand, sebaliknya berwaspada dengan Indonesia yang boleh diibaratkan sebagai singa terluka susulan empat kekalahan berturut-turut yang dialami skuad Garuda itu dalam kempen kelayakan kali ini.

Beliau menjelaskan kehadiran beberapa pemain baru di bawah pengendali sementara, Yeyen Tumena, selain perubahan pucuk pimpinan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) baru-baru ini semestinya menjadi pembakar semangat buat pemain mereka memburu kemenangan sulung.

Untuk rekod, Indonesia tewas 2-3 kepada Malaysia di samping diaibkan dengan kekalahan 0-3 kepada Thailand, 1-3 kepada Vietnam dan 0-5 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, Syahmi sedia mempamerkan aksi terbaik sekiranya diberi peluang beraksi menentang Indonesia walaupun masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya.

Penerima anugerah gol terbaik dalam Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) itu turut mengakui bahagian sayap skuad Garuda itu berbahaya berdasarkan persembahan dalam beberapa perlawanan kempen kelayakan.

"Kecederaan ini tidak serius dan Insya-Allah, ia akan pulih dalam masa terdekat. Sekiranya saya diturunkan menentang Indonesia, saya akan beri sehabis baik dan dapat beri impak positif kepada pasukan kebangsaan," jelas pemain pertahanan kanan berusia 21 tahun itu.

Malaysia berkongsi enam mata dengan UAE daripada empat perlawanan, namun UAE berada di tangga ketiga Kumpulan G menerusi perbezaan jaringan.

-- BERNAMA