Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, tidak melihat aksi persahabatan yang diaturkan bertemu Sri Lanka, 5 Oktober depan, menimbulkan isu pelepasan pemain walaupun ia berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiap pasukan berhak tidak melepaskan pemain masing-masing untuk tugasan antarabangsa di luar kalendar FIFA.

Berdasarkan situasi itu, pengendali negara, Tan Cheng Hoe, mungkin berdepan masalah untuk mendapatkan barisan pemain terbaiknya bertemu di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Ini kerana perlawanan itu diadakan dua hari sebelum jadual kalendar antarabangsa tatkala beberapa pasukan sedang sibuk dengan cabaran Piala Malaysia.

"Memang tidak banyak pasukan yang berkelapangan ketika ini.

"(Ini kerana) kebanyakan pasukan terbaik Asia sedang mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022.

"Perlawanan dengan Sri Lanka pula di luar jadual FIFA dan kebanyakan liga pula belum melepaskan pemain mereka," jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam majlis pengumuman Luqman Hakim Shamsudin menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk, di pusat membeli belah Berjaya Times Square di ibu negara, hari ini.

Pertemuan menentang pasukan di ranking ke-202 dunia itu bakal menjadi aksi pemanas badan buat Harimau Malaya sebelum bertemu Vietnam di Hanoi di Stadium Nasional, Bukit Jalil) aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 10 Oktober depan.