Kelayakan Piala Dunia 2022: FAM sudah atur langkah pelan 'B'

Oleh Staff Writer 18 Julai 2019 6793
Kelayakan Piala Dunia 2022: FAM sudah atur langkah pelan 'B'
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akur dengan pelan 'B' untuk aksi persahabatan antarabangsa membabitkan skuad kebangsaan setelah perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) terpaksa dibatalkan.

Skuad negara dijadual bertemu UAE, hujung bulan depan atau awal September sebagai persiapan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023.

Namun, perancangan awal badan induk itu terpaksa diubah berikutan UAE turut berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia dalam pusingan kedua kelayakan. 

Ia memaksa FAM untuk mengatur satu perlawanan persahabatan yang baru buat skuad Harimau Malaya sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Indonesia.

"Kami akan bertemu Indonesia untuk aksi pertama, jadi kami tidak perlu lagi ke negara Asia Barat untuk mengadakan perlawanan, kemudian berpatah balik untuk ke Indonesia. 

"Kami mungkin akan mengatur satu perlawanan di tempat sendiri sebelum bertemu Indonesia," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Antara pasukan yang kini berada dalam radar FAM sebagai pengganti kepada UAE ialah Syria, Yaman dan Hong Kong.

Ia susulan pasukan terbabit akan ke rantau Asia Tenggara menjelang aksi kelayakan yang akan bermula 5 September depan.

"Kami sediakan dua pelan 'B'. 

"Kami sedar ada pasukan yang akan berkunjung ke Asia Tenggara untuk bertemu wakil ASEAN dalam kumpulan lain seperti Kemboja dan Singapura. 

"Jadi kami boleh berhubung (mengadakan perbincangan) dengan pasukan-pasukan tertentu yang akan bermain di rantau ini," tambahnya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen