"Saya tidak jangka."

Reaksi itu diberikan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, selepas undian pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 yang menyaksikan Malaysia diundi bersama tiga negara lain dari Asia Tenggara di samping Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan G.

Undian di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, hari ini menyaksikan majlis undian membabitkan 40 pasukan itu untuk dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Tumpuan nyata terarah kepada Malaysia yang berada dalam balang 4 bersama-sama Myanmar, Hong Kong, Yaman, Afghanistan, Maldives dan Kuwait.

Disempurnakan bekas penyerang kebangsaan Australia Tim Cahill, undian itu menyaksikan Harimau Malaya bakal berdepan tiga seteru Asia Tenggara, iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Ia jelas menarik perhatian semua delegasi yang hadir apabila ia ibarat aksi Piala AFF tatkala UAE selaku pasukan handalan tampil melengkapkan kumpulan.

Kelayakan yang akan berlangsung dari 5 September ini hingga 9 Jun tahun depan itu menyaksikan hanya juara kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 serta layak secara automatik ke Piala Asia 2023.

"Saya tidak jangkakannya (keputusan undian yang sebegini) kerana proses undian ini dikira nasib.

"Kami tidaklah terlalu yakin tetapi elemen keyakinan itu penting dalam pasukan dan setiap pemain juga perlu ada keyakinan terhadap kemampuan sendiri," kata Cheng Hoe.

Tambah Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam: "Kami mempunyai peluang kerana memahami (keupayaan) lawan yang lain. Daripada keempat-empat pasukan ASEAN itu, mereka mungkin juga mempunyai pendapat yang sama."

Menurut jurucakap Persatuan Bolasepak Thailand, Joe Patit: "Kita tidak boleh nafikan bahawa kempen kali ini terarah kepada pertembungan sesama jiran Asia Tenggara tetapi dalam pusingan seperti ini, setiap pasukan amat mantap dan serius akan mengintai kelayakan ke pusingan ketiga Piala Dunia."

Pengurus skuad kebangsaan Vietnam, Doan Anh Tuan, turut menghormati lawan dengan menyifatkan saingan sebagai seimbang.

"Kumpulan G terdiri daripada empat pasukan Asia Tenggara dan setiap pasukan memiliki peluang untuk lolos ke pusingan seterusnya," katanya.

Malaysia akan membuka kempen dengan bertandang ke Indonesia pada 5 September, disusuli menanti kunjungan UAE (10 September) dan aksi di Vietnam (10 Oktober).

Selepas itu, Malaysia akan berdepan Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) di tempat sendiri sebelum ke UAE (26 Mac 2020).

Dua aksi terakhir menyaksikan Malaysia akan membuat perhitungan dengan Vietnam di tempat sendiri pada 31 Mac 2020 sebelum ke Thailand pada 9 Jun 2020.

Keputusan penuh undian:

KUMPULAN A

CHINA
SYRIA
FILIPINA
MALDIVES
GUAM

KUMPULAN B
AUSTRALIA
JORDAN
TAIWAN
KUWAIT
NEPAL

KUMPULAN C
IRAN
IRAQ
BAHRAIN
HONG KONG
KEMBOJA

KUMPULAN D
ARAB SAUDI
UZBEKISTAN
PALESTIN
YAMAN
SINGAPURA

KUMPULAN E
BANGLADESH
OMAN
INDIA
AFGHANISTAN
QATAR

KUMPULAN F
JEPUN
KYRGYZSTAN
TAJIKISTAN
MONGOLIA

KUMPULAN G
UAE
VIETNAM
THAILAND
MALAYSIA
INDONESIA

KUMPULAN H
KOREA SELATAN
LUBNAN
KOREA UTARA
TURKMENISTAN
SRI LANKA