Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, percaya keputusan menggugurkan penyerang, R. Kogileswaran, tidak akan memberi kesan besar dalam mengharungi kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 bermula esok.

Kim Swee mengumumkan senarai akhir 23 pemain ke kelayakan itu yang menyaksikan empat pemain digugurkan hari ini.

Mereka ialah Kogileswaran (Pahang), Nazirul Afif Ibrahim (Perak), Ariff Ar-Rashid Ariffin (PKNS FC) dan Ariusdius Jais (Sabah).

Keputusan menggugurkan Kogileswaran sememangnya mengejutkan kerana penyerang itu merupakan tonggak skuad muda negara.

Kogileswaran tidak pernah terlepas untuk mewakili pasukan itu sejak Kejohanan AFC B-23 di China, Januari tahun lalu.

"Dia masih menanggung kecederaan ringan selain tidak mempunyai minit permainan yang mencukupi.

"Kami masih mempunyai pilihan penyerang yang lain, termasuk Faisal Halim, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. Justeru, saya tidak mempunyai masalah di jentera serangan.

"Kami akan menentukan barisan pemain berdasarkan pasukan lawan yang akan dihadapi dan taktikal apa yang akan diketengahkan," ujar Kim Swee.

Malaysia yang mencipta sejarah layak ke suku akhir edisi lalu akan membuka kempen kelayakan menentang Filipina di Stadium Shah Alam, esok.

Mereka berdepan misi wajib menang dalam dua aksi pertama bagi mencerahkan peluang mara ke pusingan akhir di Bangkok, Thailand, tahun depan.

"Sudah tentu kami ingin mendapatkan kemenangan dan jumlah jaringan juga penting tetapi tiga mata lebih mustahak sebelum kami memikirkan langkah seterusnya.

"Saya harap penyokong akan hadir beramai-beramai untuk memberikan sokongan padu kerana kejohanan ini penting untuk layak sebelum kami memikirkan kelayakan Sukan Olimpik," tambah Kim Swee.

Meskipun menyedari kelebihan memihak Malaysia selaku tuan rumah, skuad B-22 Filipina tetap mempunyai keazaman untuk melakar kejutan.

Skuad bimbingan Salvador Salvacion itu dibarisi pemain yang hampir sama ketika Kejohanan AFF B-22 di Kemboja, bulan lalu dan kali ini diperkuatkan penyerang Sunderland RCA FC, Tro Limbo.

"Kami dapat mengadakan persiapan dengan lebih rapi dan suasana pasukan dalam keadaan yang sangat baik.

"Kami memiliki beberapa muka baru dan ia menambah keterujaan untuk melihat kesebelasan pasukan," kata penolong jurulatih pasukan B-22 Filipina, Randolfo Clarino.