Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menggugurkan empat pemain bagi melengkapkan senarai akhir pemain yang bakal membawa cabaran dalam kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020.

Kim Swee menggugurkan R.Kogileswaran (Pahang), Nazirul Afif Ibrahim (Perak), Afif Ar-Rashid Ariffin (PKNS FC) dan Ariusdius Jais (Sabah) untuk melengkapkan senarai 23 pemain yang bakal menghadapi saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Stadium Shah Alam bermula esok.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan J dengan menentang Filipina esok, diikuti Laos (Ahad) dan China, Selasa depan.

"Sukar untuk mengumumkan senarai 23 pemain kerana pemain-pemain ini telah lama menjalani latihan bersama pasukan.

"Tetapi keputusan harus dilakukan dan Kogileswaran telah bersama kami sebelum ini tetapi kecergasannya memaksa kami mengetepikan khidmatnya dan memberikan peluang kepada pemain-pemain lain," kata Kim Swee.

Juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan mara secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 bersama tuan rumah, Thailand.

Hanya empat atau lima pasukan di tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Tahun lalu, Malaysia melakar sejarah apabila mara ke suku akhir dalam penampilan sulung kejohanan tersebut yang berlangsung di China.