Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, melaungkan keyakinan mampu melepasi halangan peringkat kumpulan Kelayakan Kejohanan AFC 2019 dengan melabel China sebagai pencabar utama dan pada masa yang sama, tidak mengambil mudah ancaman Laos dan Filipina.

Keyakinan Kim Swee ada rasionalnya selepas Malaysia mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah dalam saingan kali ini untuk meletakkan Harimau Malaya di kedudukan kedua terbaik kumpulan bagi layak secara automatik.

Justeru, dengan gabungan pemain terbaik negara, Kim Swee menyasarkan untuk layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 2020 di Thailand yang juga merupakan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"China dan Malaysia mempunyai kelebihan tetapi pada masa sama, kami tidak boleh memandang rendah kemampuan Filipina dan Laos.

"Dalam kempen kelayakan ini, hanya pasukan teratas akan mara ke pusingan akhir manakala pasukan yang mengakhiri saingan peringkat kumpulan di tangga kedua pula perlu menantikan keputusan lain sebelum dapat memastikan sama ada akan mara atau tidak," ujarnya.

Sebelum ini, skuad B-23 negara di bawah kendalian Kim Swee mencipta kejutan dalam dalam edisi di China tahun lalu apabila menewaskan Arab Saudi 1-0 untuk melepasi peringkat seterusnya.

Skuad B-23 kebangsaan bakal menjadi pencabar sengit dalam Kumpulan J apabila dibarisi empat tunjang utama negara seperti Akhyar Rashid, Syahmi Safari, Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba.

"Kelebihan Malaysia sudah tentu bermain di tempat sendiri kerana penyokong akan memainkan peranan penting.

"Yang mustahak, kami menjalani persiapan lebih rapi dan semua pemain terbaik pula akan terlibat," kata Kim Swee lagi.