Hanya 16 daripada 27 pemain yang dipanggil pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, hadir melaporkan diri untuk hari pertama latihan pusat menjelang saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 yang bakal bermula 22 Mac ini.

Perancangan awal Kim Swee adalah mengharapkan 18 pemain melapor diri hari ini, namun dua pemain Pahang, Faisal Abdul Halim dan R. Kogileswaran, diberi pelepasan untuk hadir esok susulan baru melangsungkan perkahwinan serta terbabit dengan aksi Liga Super semalam.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terlibat dengan perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) diminta melaporkan diri Rabu ini manakala pertahanan Selangor, Syahmi Safari, juga akan menyertai skuad esok.

"Kogileswaran memaklumkan kepada kami bahawa Pahang mempunyai program dan dia akan melapor diri sedikit lewat. Ada beberapa pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia, jadi penting untuk kami mengumpulkan pemain seramai yang boleh sehingga 13 Mac nanti," kata Kim Swee.

Meskipun barisan pemain yang dipanggil kali ini tampak lebih ampuh berbanding ketika saingan Kejohanan AFF B-22 sebelum ini, Kim Swee tetap menaruh kepercayaan kepada beberapa muka baru.

Antara yang mendapat kepercayaan pengendali itu ialah Muhammad Amirul Ashraf Ariffin dan Muhammad Izzan Syahmi Mustapa.

"Pemain yang pertama kali menyertai pasukan, hanya untuk tahun ini tetapi mereka pernah bersama kami. Saya lihat mereka tidak akan berdepan masalah daripada segi latihan serta corak permainan yang akan kami mainkan nanti," tambah Kim Swee.