Kelayakan Kejohanan AFC B-16: Malaysia pesta gol di bumi Laos

Oleh Staff Writer 18 September 2019 13254
Kelayakan Kejohanan AFC B-16: Malaysia pesta gol di bumi Laos
MALAYSIA 7 KEMBOJA 0

Skuad Malaysia B-16 negara membuka saingan kelayakan Kejohanan AFC B-16 dengan langkah kanan setelah menewaskan Kemboja B-16 7-0 di Stadium Nasional Laos di Vientiane, sebentar tadi.


Skuad bimbingan P. Maniam itu bermula garang dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang Kemboja seawal minit pertama perlawanan.

Ketika rancak menyerang, Akid Zamri pada minit keenam diterjah oleh penjaga gol lawan dalam kotak penalti dan pengadil dari India menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad muda negara.

Pemain berjersi nombor 5, Adam Uwais, tenang menewaskan penjaga gol Kemboja, Chhoun Pili, untuk memberikan gol pendahuluan buat Malaysia.

Kemboja berusaha untuk bangkit selepas melancarkan serangan tetapi benteng pertahanan skuad muda negara seringkali bersedia untuk mengekang serangan di samping penjaga gol Malaysia, Zulhilmi Sharani, beraksi cemerlang menafikan satu, dua percubaan.

Belum sempat Kemboja menyamakan kedudukan, satu serangan pantas Malaysia berhasil mendapatkan gol kedua menerusi rembatan kencang Adam Farhan di dalam kotak penalti pada minit ke-16.

Dua jaringan terhasil menerusi Akid Zamri pada minit ke-22 dan 30 membenarkan Malaysia mendahului dengan kelebihan empat jaringan hingga tamat separuh masa pertama.

Malaysia yang hadir dalam saingan kelayakan ini segar dengan kejayaan bergelar juara Kejohanan AFF B-15 terus mempamerkan aksi penuh bertenaga dengan menjaringkan tiga lagi gol menerusi Harry Danish (m-52), Nabil Qayyum (m-64) sebelum Khairil Mohd Zain melengkapkan kemenangan penuh bergaya dalam masa kecederaan.

Kemenangan itu melonjakkan Malaysia mengungguli carta Kumpulan J mengatasi Jepun yang menewaskan Laos 4-0 di sebelah petang tadi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen