Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mempunyai perancangan terperinci bagi memastikan skuad Kejohanan AFF B-15 negara melalui kelayakan Kejohanan AFC B-16 2020 dari 14 hingga 22 September depan di kemuncak prestasi.

Skuad kendalian P. Maniam itu mencetuskan sensasi apabila menewaskan Thailand 2-1 di laman mereka untuk muncul skuad terbaik Asia Tenggara dalam kelompok usia itu.

Difahamkan, badan induk itu sudah mengenal pasti beberapa negara yang bersetuju untuk mengadakan perlawanan pemanas badan dengan kem latihan pusat pasukan negara akan bermula pada awal bulan depan.

"Kejuaraan dalam Kejohanan AFF B-15 merupakan satu kejayaan positif tetapi ia bukanlah penanda aras kerana kelayakan Kejohanan AFC 2020 menjadi perhatian dan keutamaan pasukan ini," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

"Kemenangan dalam Kejohanan AFF akan menjadi pemangkin semangat untuk persembahan di peringkat AFC.

"Kami juga akan mengatur perlawanan persahabatan menentang India, Mongolia dan Nepal."

Sementara itu, Stuart menganggap prestasi Maniam yang membentuk skuad berkualiti dalam tempoh singkat sebagai tidak mengejutkan.

Bagaimanapun, ia membangkitkan keterujaan terhadap kemampuan sebenar mereka untuk berentap dengan pasukan terbaik Asia.

"Kami cuma terkejut kerana mereka berdepan masa yang singkat (membuat persiapan) berikutan Maniam baru sahaja menyertai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

"Dia seorang jurulatih yang memiliki lesen bertaraf pro dan juga pernah mengharungi sistem (pembangunan) seperti ini. Beliau merupakan jurulatih yang kami letakkan harapan tinggi.

"Dengan kemampuannya mengendalikan barisan pemain ini dan meraih keputusan (memberangsangkan) seperti ini, saya percaya mereka mencipta tuah sendiri," katanya lagi.