Pengendali England, Gareth Southgate, menerima hakikat pasukannya melakukan kesilapan di barisan pertahanan ketika menewaskan Kosovo 5-3 dan menuntut agar anak buahnya memperbaiki prestasi.

Raheem Sterling menyinar dengan satu gol dan tiga bantuan jaringan tatkala England bangkit daripada ketinggalan di Southampton.

Jadon Sancho meraih jaringan pertama di pentas antarabangsa sambil Harry Kane turut menemui sasaran walaupun kapten The Three Lions itu gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam babak kedua.

Namun, Kosovo memaksa semi finalis Liga Negara-Negara UEFA, England, melakukan kesilapan seawal minit pertama apabila Michael Keane membenarkan gol pembukaan oleh Valon Berisha.

Berisha sekali lagi menggunakan kesempatan selepas Declan Rice mudah melepaskan bola sambil halangan Harry Maguire mengakibatkan Vedat Muriqi menyumbat gol menerusi sepakan penalti.

England dilihat memiliki barisan depan yang mantap menerusi Sterling dan Sancho tetapi Southgate jelas perlu mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan dengan benteng pasukan.

"Ia detik yang diingati! Satu perlawanan yang gila," kata Southgate.

"Terdapat kesilapan mudah yang menjadi punca kepada jaringan lawan tetapi saya gembira melihat ketajaman di depan gawang.

"Kami memperagakan serangan yang memukau dan menggunakan bola dengan baik.

"Kesilapan dilakukan memang jelas dan kami perlu tampil lebih baik. Pemain tidak perlu menerangkan tentangnya.

"Dua perkara yang begitu jelas dilihat adalah bahagian persefahaman dan kesilapan."

England akan kembali beraksi dalam kunjungan ke Republik Czech dan Bulgaria bulan depan.