Kelayakan Euro 2020: Skuad Mancini ulangi rekod kemenangan Azzuri 

Oleh Staff Writer 16 Oktober 2019 1385
Kelayakan Euro 2020: Skuad Mancini ulangi rekod kemenangan Azzuri 
LIECHTENSTEIN 0 ITALI 5

Itali menyamai rekod kemenangan terbanyak selepas membelasah Liechtenstein 5-0 untuk meraih kejayaan dalam perlawanan kesembilan sambil pengurus, Roberto Mancini, mendapati masih ada ruang yang boleh dibaiki. 


Azzurri, yang layak ke pusingan akhir Euro 2020 selepas mengalahkan Greece hujung minggu lalu, melepasi halangan Liechtenstein dalam pertembungan Kumpulan J itu awal pagi tadi. 

Kemenangan itu menyaksikan mereka berjaya menyamai pencapaian pasukan yang pernah dikendalikan oleh Vittorio Pozzo dari Mei 1938 hingga Mac 1939.

Namun, Mancini lebih berminat dengan rekod Pozzo yang lebih gemilang, seperti yang dijelaskannya menjelang aksi di Stadium Rheinpark itu. 

"Dapat menyamai rekod kemenangan Pozzo adalah pencapaian yang manis tetapi saya lebih suka jika dapat menyamai rekodnya dengan memenangi dua kejuaraan Piala Dunia!," kata Mancini kepada Rai Sport dan dalam masa yang sama, melihat masih banyak peningkatan yang boleh dilakukan pasukannya.

"Adalah normal kami kurang tekal apabila melakukan rombakan besar. Terdapat beberapa aspek positif yang dipamerkan, ada juga yang boleh dibaiki tetapi isu utamanya adalah kerana barisan pemain-pemain ini tidak pernah beraksi bersama sebelum ini."

Federico Bernardeschi membuka tirai jaringan selepas dua minit sepak mula -- gol terpantas skuad Azzurri sejak Jun 2013 -- sebelum terpaksa menunggu sehingga pertengahan babak kedua untuk menambah gol.

Gol tandukan Andrea Belotti pada minit ke-70, yang meledak satu lagi jaringan pada masa kecederaan, memuncakkan selera jaringan pelawat apabila tiba giliran Alessio Romagnoli dan Stephan El Shaarawy pula untuk menyumbat gol.

El Shaarawy meledak gol pertamanya di peringkat antarabangsa sejak melakukan penampilan pertamanya pada 2017 dan bekas pemain Roma dan AC Milan itu mengakui ia merupakan detik yang penuh beremosi.

"Perasaan saya bercampur-baur. Ia satu detik yang sangat beremosi buat saya. Ia merupakan satu kepuasan untuk kembali menyarung jersi Itali," kata El Shaarawy kepada Rai Sport.

"Saya rasa Itali memang berhak untuk mara dengan keputusan-keputusan ini kerana kami semua bekerja keras dan sangat gembira dengan perjalanan ini. 

"Saya begitu berharap untuk diturunkan memandangkan kali terakhir saya mewakili Itali adalah dua tahun lalu. Ia satu perlawanan yang menyaksikan kami gagal layak ke Piala Dunia. Saya perlu mengubah perasaan mengenai perlawanan itu."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen