ITALI 2 GREECE 0

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma, memberi penghormatan kepada pengurus skuad Azzurri, Roberto Mancini, selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Greece untuk menempah tempat dalam pusingan akhir Euro 2020 dengan berbaki tiga perlawanan.


Itali melangkah ke perlawanan di Stadio Olimpico, Rome itu dengan rekod kemenangan dalam keenam-enam perlawanan Kumpulan J dan sedar kemenangan seterusnya akan mengesahkan slot mereka pada tahun depan.

Ia bukan sekadar satu perlawanan biasa untuk menghadapi Greece yang berikrar untuk menggagalkan Itali -- yang menyarung jersi hijau berbanding warna tradisi, biru, sebagai lambang kebangkitan -- dan ia dibuktikan apabila dalam babak pertama, pasukan kendalian Mancini itu jarang memberi ancaman kepada pertahanan pelawat.

Begitupun, insiden Andreas Bouchalakis menyekat rembatan Lorenzo Insigne dengan tangannya sejurus permainan melewati sejam memberi ruang untuk Jorginho menyempurnakan sepakan penalti sebelum jaringan lewat Federico Bernardeschi memuktamadkan kemenangan.

Sehubungan itu, Donnarumma memuji kesan yang diilhamkan Mancini dalam memulihkan maruah mereka setelah Itali gagal mara ke Piala Dunia 2018.

"Dia seorang pengurus yang hebat, kami mematuhinya," kata Donnarumma kepada Rai Sport.

"Dia mempunyai prinsip yang baik.

"Kami semua mematuhi arahannya dan kami harus meneruskannya dalam Euro 2020 kerana dia pasti akan membawa kami ke landasan yang betul."

Kemenangan ke atas Greece itu menjadi kemenangan kelapan berturut-turut di bawah bimbingan Mancini -- bermakna dia mampu menyamai rekod sepanjang zaman kemenangan berturut-turut Itali apabila berdepan Liechtenstein, awal pagi Rabu ini.

Namun, Mancini menolak soal itu sambil menonjolkan pengurus yang telah menetapkan rekod itu -- Vittorio Pozzo -- kerana memiliki legasi yang lebih mengesankan.

"Pozzo adalah legenda kerana dia memenangi dua Piala Dunia, jadi yang lain tidak perlu dibandingkan," kata pengendali berusia 54 tahun itu.

"Kami berharap malam-malam ajaib itu akan kembali dan pada Jun tahun depan, ia akan menjadi lebih menarik lagi."