Kelayakan Euro 2020: Saingan Kepa, De Gea bawa keuntungan buat Sepanyol 

Oleh Staff Writer 12 Oktober 2019
Kelayakan Euro 2020: Saingan Kepa, De Gea bawa keuntungan buat Sepanyol 
Kepa Arrizabalaga berasakan persaingannya dengan David de Gea untuk merebut posisi penjaga gol pilihan utama menjadi satu perkembangan yang baik buat Sepanyol.

Penjaga gawang Chelsea, Kepa, telah bermula dalam empat perlawanan terakhir manakala De Gea kembali dalam kesebelasan utama ketika menang 4-0 ke atas Kepulauan Faroe, bulan lalu.

De Gea mengalami kempen Piala Dunia 2018 yang buruk, termasuk bersama Manchester United, tetapi pengurus pasukan kebangsaan, Robert Moreno, baru-baru ini menyatakan dia tiada pilihan tetap berkenaan peranan itu. 

Skuad La Roja akan menghadapi Norway di Oslo, awal pagi esok, justeru Kepa berhasrat untuk merampas semula kedudukannya dalam barisan utama. 

"Matlamat utama saya adalah untuk bermain," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan Jumaat lalu. "Semua pemain mahu berada dalam kesebelasan utama. Jelas sekali saya yakin dan mahu membantu pasukan.

"Sekiranya saya menjadi salah seorang pemain kesebelasan utama, maka  matlamat saya adalah untuk memenangi perlawanan yang bukan mudah ke atas Norway.

"Saya rasa dalam keadaan baik dan saya berkeyakinan. Benar saya tidak mengambil bahagian dalam Piala Dunia dan kini saya berpeluang untuk membantu pasukan saya dengan lebih banyak lagi."

Kedua-dua pemain itu saling diberi peluang utama, justeru Kepa berkata penggiliran itu sudah dijangkakan.

"Apabila ada perdebatan mengenai kedudukan dalam pasukan kebangsaan, ia adalah perkara yang sihat -- yang mendapat keuntungannya adalah pasukan," katanya.

"Oleh kerana dasar penggiliran penjaga gol adalah satu kebiasaan, maka anda perlu mempercayai diri sendiri.

"Saya tidak terlibat dalam segala ulasan di akhbar. Kami hanya perlu melakukan perbincangan di atas padang."

Kepa meninggalkan kelab Sepanyol, Athletic Bilbao, untuk menyertai Chelsea pada Ogos 2018 dan muncul sebagai penjaga gol termahal di dunia. 

Pemain berusia 25 tahun itu percaya dia telah mencapai kemajuan ketika berada dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berharap dapat terus meningkatkan permainannya di Stamford Bridge.

"Saya telah menjadi matang sebagai individu dan penjaga gol," katanya. "Saya sudah terbiasa bermain dengan cara yang berbeza.

"Saya kini lebih kerap menghadapi lawan yang berfizikal keras dan berkualiti tinggi. Saya akan terus berkembang kerana saya masih muda."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen