Kelayakan Euro 2020: Ronaldo kembali perkuat Portugal

Oleh Staff Writer 16 Mac 2019 2251
Kelayakan Euro 2020: Ronaldo kembali perkuat Portugal
Tempoh rehat Cristiano Ronaldo dengan skuad kebangsaan Portugal akhirnya tamat selepas dia tersenarai dalam kalangan 25 pemain skuad itu bagi menentang Ukraine dan Serbia dalam kempen kelayakan Euro 2020, bulan ini.

Ronaldo, 34, tidak pernah mewakili negaranya sejak dikecewakan dalam Piala Dunia Russia tahun lalu di mana mereka disingkirkan Uruguay dalam pusingan 16.

Penyerang Juventus itu dibenarkan untuk tidak menyertai skuad kebangsaan negaranya pada September tahun lalu dan ia berlarutan sehingga Oktober dan November bagi memudahkan dia menyesuaikan diri dengan kelab barunya itu di Itali.

Portugal, bagaimanapun, kelihatan tidak terkesan dengan kehilangan Ronaldo sepanjang tempoh itu.

Mereka merekodkan enam perlawanan tanpa kalah --tiga kemenangan dan dua keputusan seri -- untuk ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah sepanjang proses itu.
 
Namun, dengan pusingan kelayakan Euro 2020 yang kian bermula, Ronaldo akan kembali memperkuatkan skuad kebangsaan Portugal.

Ketua jurulatih, Fernando Santos, turut menyenaraikan dua penyerang muda,  Joao Felix daripada Benfica dan Dyego Sousa (Sporting Braga).

Selepas melayani kunjungan Ukraine di Stadium da Luz, Lisbon, 22 Mac ini, Portugal akan turun beraksi sekali lagi di venue yang sama tiga hari kemudian bagi menghadapi Serbia.

Senarai 25 pemain Portugal: Cristiano Ronaldo (Juventus), Beto (Goztepe), Jose Sa (Olympiacos), Rui Patricio (Wolves); Joao Cancelo (Juventus), Nelson Semedo (Barcelona), Jose Fonte (Lille), Pepe (Porto), Ruben Dias (Benfica), Mario Rui (Napoli), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund), Danilo Pereira (Porto), Ruben Neves (Wolves), William Carvalho (Real Betis), Bruno Fernandes (Sporting CP), Joao Mario (Inter Milan), Joao Moutinho (Wolves), Pizzi (Benfica); Bernardo Silva (Manchester City), Goncalo Guedes (Valencia), Rafa Silva (Benfica), Andre Silva (Sevilla, dipinjamkan daripada AC Milan), Diogo Jota (Wolves), Dyego Sousa (Sporting Braga), Joao Felix (Benfica).

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen