PORTUGAL 3 LUXEMBOURG 0

Fernando Santos berasakan pemainnya hilang fokus ketika menentang Luxembourg dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi kerana mereka lebih memikirkan pertemuan selanjutnya dengan Ukraine yang lebih penting.


Portugal meraih kemenangan kelima dalam semua pertandingan itu dengan kejayaan mudah 3-0 di Lisbon.

Bernardo Silva memberikan juara bertahan Eropah itu gol pendahuluan tetapi tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-65 sebelum Cristiano Ronaldo akhirnya menggandakan kedudukan dengan lambungan menarik.

Bagaimanapun, Portugal tidak berdepan sebarang ancaman dan menokok satu gol lagi pada minit-minit akhir permainan menerusi pemain gantian, Goncalo Guedes.

Sementara itu, Ukraine membenam Lithuania 2-0 untuk kekal lima mata mendahului Portugal di puncak Kumpulan B itu menjelang pertembungan di antara kedua-dua negara.

Justeru, Santos percaya ia adalah pertembungan yang boleh menentukan pasukan yang akan mengakhiri kempen kelayakan di puncak kumpulan.

"Ia pasti akan menjadi seperti satu perlawanan akhir," katanya kepada Sport TV. "Kami menguasai 25 minit pertama hari ini, bermain dengan baik dan menggugat Luxembourg.

"Selepas itu, permainan kami lebih mudah diramalkan dan Luxembourg memaksa kami untuk berlari.

"Dalam babak kedua, prestasi kami menjadi lebih baik dengan meraih gol kedua tetapi dari situ, pemain-pemain mula memikirkan tentang Ukraine -- termasuk saya sendiri padahal ia bukan satu amalan buat saya sendiri. Saya mula memikirkannya dan berusaha memperbaiki keadaan."

Pemain tengah, Joao Moutinho, sependapat dengan pengurusnya itu bahawa Portugal patut menyumbat lebih banyak gol, sebaliknya mereka mengimbangi rentak lawan -- yang telah beraksi lebih satu perlawanan -- sebagai aspek yang paling penting.

"Kami tidak menjaringkan seberapa banyak gol seperti yang diharapkan," katanya. "Kami melakukan yang terbaik dan hasilnya inilah yang berlaku.

"Rentak kami sedikit terjejas dan kami tidak memberi tekanan seperti yang diharapkan. Tetapi kami telah mengharungi perlawanan yang baik, kami dapat mengawal perlawanan, mencipta peluang, menjaringkan gol dan keluar dengan kemenangan."