Kelayakan Euro 2020: Pengurus Sepanyol tidak tolak penyertaan Fati 

Oleh Staff Writer 12 Oktober 2019
Kelayakan Euro 2020: Pengurus Sepanyol tidak tolak penyertaan Fati 
Ansu Fati berpeluang untuk dinamakan dalam skuad Sepanyol menghadapi Kejohanan Euro 2020, kata pengurus, Robert Moreno.

Penyerang berumur 16 tahun itu menyerlah musim ini apabila muncul sebagai pemain termuda Barcelona dalam LaLiga selepas menemui sentuhan penyudah ke atas Osasuna.

Pemain kelahiran Guinea-Bissau itu juga boleh memilih untuk mewakili Portugal di peringkat antarabangsa, sebaliknya dia mahu menguatkan skuad La Roja, lebih-lebih lagi setelah menerima kerakyatan Sepanyol. 

Fati beroleh kesempatan awal apabila diserapkan dalam skuad B-21 Sepanyol yang menghadapi Montenegro, awal pagi tadi, berikutan kecederaan yang menimpa rakan sepasukannya di peringkat kelab, Carles Perez.

Moreno memberi isyarat bahawa Fati sudah dalam perancangannya untuk menghadapi pusingan akhir Euro 2020 memandangkan mereka sudah mencatat enam kemengan dalam semua perlawanan Kumpulan F.

"Sudah tentu saya mahu Ansu ada di sana," katanya menjelang lawatan ke Norway. "Dia sudah ada dalam senarai awal.

"Dia telah tersenarai dalam pasukan remaja. Kami percaya adalah penting untuk kami menyenaraikan pemain yang boleh menyudahkan peluang. 

"Kalau dia mula meledak gol dan menemui rentak, kami sama sekali tidak akan mengetepikan pemain seperti itu. 

"Semua pemain dialu-alukan. Ansu sudah membuktikan banyak perkara. 

"Sudah tentu dia berkemampuan untuk tersenarai dalam kempen Euro 2020."

Kontrak Moreno bakal berakhir selepas Euro 2020 selepas pengendali itu mengambil alih tugasan berkenaan atas dasar sementara selepas Luis Enrique terpaksa menarik diri berhubung alasan peribadi.

Walaupun dia masih belum mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) untuk melanjutkan kontraknya, Moreno tidak gusar tentang soal itu.

"Saya tidak memikirkannya, RFEF tidak bercakap dengan saya ataupun saya mahu mereka bercakap dengan saya," katanya.

"Kami sedang memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan 30 mata. Ia tidak akan membawa apa-apa makna untuk diberitahu tentangnya.

"Ini sesuatu yang sangat menyeronokkan dan setiap minggu akan ada sesuatu yang baru yang muncul untuk menghiburkan anda. Saya gembira dengan perkara-perkara yang sedang berlaku, saya belum pernah melihat mereka menempa kekalahan (dalam proses kelayakan).

"Mudah-mudahan kami boleh layak, saya ingin melakukannya dengan memenangi semua perlawanan."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen