Kelayakan Euro 2020: Norway nafi tiket Sepanyol 

Oleh Staff Writer 13 Oktober 2019
Kelayakan Euro 2020: Norway nafi tiket Sepanyol 
NORWAY 1 SEPANYOL 1  

Jaringan sepakan penalti Joshua King pada separuh masa kedua menangguhkan hasrat Sepanyol untuk mengesahkan tempat dalam pusingan akhir Euro 2020 selepas diikat Norway 1-1 dalam pertemuan Kumpulan F di Stadium Ullevaal, awal pagi tadi. 


Ketua pasukan skuad La Roja, Sergio Ramos, membuat penampilan terbanyak dengan rekod 168 perlawanan untuk mengatasi pencapaian bekas rakan sekelab, Iker Casillas, namun pasukannya perlu berjuang lagi untuk merebut tiket dalam baki tiga perlawanan lagi. 

Penyerang Bournemouth itu menghukum kekasaran Kepa Arrizabalaga ke atas Omar Elabdellaoui lalu pengadil, Michael Oliver, tidak was-was untuk menghadiahkan sepakan penalti. 

"Saya berasa tidak sedap hati apabila melepaskan gol penyamaan dan ia bukan situasi yang baik," kata pengurus Sepanyol, Robert Moreno. "Kami cuba merampas bola dan menguasainya sementara pada saat-saat akhir, perlulah membunuh permainan.

"Saya menyukai sikap yang ditonjolkan mereka tetapi bukan dalam separuh masa pertama. Dalam babak kedua pula, kami mengemaskan permainan untuk menjana peluang dalam usaha menjaringkan gol kedua tetapi akhirnya kawalan kami hilang."

Sepanyol akan mempunyai peluang lain untuk merebut tiket kelayakan apabila bakal berkunjung ke Sweden, awal pagi Rabu ini.

Moreno berkata: "Kami akan cuba menang di Sweden dan kami akan cuba meraih 28 mata (dalam kempen peringkat kumpulan) memandangkan kami tidak akan dapat mengumpul 30 mata. Norway sangat mantap dan bermain dengan cita-cita sebagai sebuah pasukan yang masih mempunyai peluang untuk layak.

"Mereka begitu bersemangat apabila berdepan pasukan yang tidak akan rugi apa-apa dan itulah yang berlaku di Norway."

Kesebelasan yang membarisi Sepanyol awal pagi tadi dilengkapi 11 pemain daripada kelab yang berbeza, namun pengendali itu berpendapat adalah lebih membawa manfaat sekiranya pasukan gergasi LaLiga seperti Barcelona atau Real Madrid mampu menawarkan lebih banyak bakat kepada skuadnya.

"Kami mempunyai ramai pemain daripada pasukan berbeza," katanya. "Saya ingin mempunyai tujuh pemain daripada pasukan yang sama kerana mereka akan bermain bersama setiap minggu tetapi itulah kenyataannya.

"Ia satu statistik yang saya tidak tahu, ia juga bermakna kami mempunyai ramai pemain yang bagus dalam banyak pasukan yang baik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen