Kelayakan Euro 2020: Mbappe amat sanjung peranan Deschamps

Oleh Staff Writer 13 Oktober 2019
Kelayakan Euro 2020: Mbappe amat sanjung peranan Deschamps
Kylian Mbappe menyifatkan kepercayaan yang ditunjukkan oleh Didier Deschamps sebagai bernilai "semua wang yang ada di dunia ini" apabila membabitkan hubungannya dengan pengurus Perancis itu. 

Les Bleus menewaskan Iceland 1-0 dalam kelayakan Euro 2020 semalam tanpa kelibat Mbappe memandangkan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dilanda masalah hamstring. 

Justeru, dia juga belum bersedia untuk menghadapi Turki di Paris, awal pagi Selasa ini. 

Mbappe belum beraksi untuk Perancis sejak menyumbat gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Andorra pada Jun lalu tetapi dia begitu komited kepada Deschamps sejak pengurusnya itu menyenaraikannya walaupun ketika dia mengharungi detik sukar dalam karier.

Deschamps menyenaraikan Mbappe dalam skuad Perancis tatkala dia dipinggirkan di Monaco berikutan langkah pinjamannya dengan PSG masih belum selesai, satu peristiwa yang penggempur berkenaan tidak akan melupakannya.

Mbappe memberitahu TF1: "Dia memanggil saya walaupun saya tersisih ketika itu -- sebagai pemain, ia begitu bermakna.

"Ia satu isyarat ... isyarat yang sangat kuat! Ia tanda keyakinan yang bernilai ibarat wang yang ada di seluruh dunia ini. 

"Saya tahu jurulatih percaya dan yakin kepada saya. Sebaik dia membuat keputusan itu, saya sedia bermat-matian untuknya di atas padang. Jika dia memberitahu saya agar bermain di posisi penjaga gol sekalipun, saya sanggup."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen