Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, mengumumkan tiga muka baru pasukannya selepas kontroversi menyingkirkan tiga pemain senior daripada Bayern Munich, Thomas Muller, Mats Hummels dan Jerome Boateng.

Minggu lalu, Low mengesahkan trio juara dunia 2014 itu tidak berada dalam perancangannya bagi menghadapi kempen kelayakan Euro 2020 yang akan bermula dengan menentang Belanda pada 24 Mac ini dan dituruti dengan Serbia empat hari kemudian.

Pengendali itu memilih untuk menyenaraikan pertahanan RB Leipzig, Lukas Klostermann, Niklas Stark (pemain tengah Hertha Berlin) dan Maximilian Eggestein (penyerang Werder Bremen) bagi mengembalikan kegemilangan skuad Die Mannschaft itu selepas diaibkan dalam kempen Piala Dunia Russia tahun lalu.

Muller, Hummels dan Boateng telah meluahkan kekecewaan mengenai cara mereka digugurkan daripada skuad kebangsaan negara itu dan Low menjelaskan dia memahami kekecewaan yang melanda ketiga-tiga tonggak senior berkenaan.

"Saya faham ketiga-tiga pemain itu amat kecewa.

"Saya memberitahu mereka bahawa saya akan melakukan perancangan peringkat kelayakan tanpa melibatkan mereka dan saya hanya mahu berlaku jujur," katanya dalam sidang media.

Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen, dan pemain Manchester City, Ilkay Gundogan, kembali tersenarai selepas disingkirkan ketika menentang Belanda dalam Liga Negara-Negara Eropah dan perlawanan persahabatan dengan Russia November lalu.

Bagaimanapun, tiada ruang buat Jonas Hector, Julian Draxler, Sebastian Rudy dan Mark Uth dalam pasukan itu.

Senarai pemain Jerman: Manuel Neuer (Bayern Munich), Marc-Andre ter Stegen (Barcelona) Kevin Trapp (Eintracht Frankfurt, dipinjamkan daripada Paris Saint-Germain), Matthias Ginter (Borussia Monchengladbach), Thilo Kehrer (Paris Saint-Germain), Antonio Rudiger (Chelsea), Nico Schulz (Hoffenheim), Niklas Sule (Bayern Munich), Jonathan Tah (Bayer Leverkusen), Marcel Halstenberg (RB Leipzig), Lukas Klostermann (RB Leipzig), Niklas Stark (Hertha Berlin), Julian Brandt (Bayer Leverkusen), Leon Goretzka (Bayern Munich), Kai Havertz (Bayer Leverkusen), Joshua Kimmich (Bayern Munich), Ilkay Gundogan (Manchester City), Serge Gnabry (Bayern Munich), Toni Kroos (Real Madrid), Marco Reus (Borussia Dortmund), Leroy Sane (Manchester City), Timo Werner (RB Leipzig), Maximilian Eggestein (Werder Bremen).