Didier Deschamps memuji kualiti kawalan bola berkelas tinggi yang ditonjolkan Clement Lenglet ketika pertahanan Barcelona itu semakin mengukuhkan posisinya dalam kesebelasan utama Perancis.

Kecederaan yang menimpa Aymeric Laporte dan Samuel Umtiti membuka pintu untuk pemain kidal berkenaan bergandingan dengan Raphael Varane dalam kemenangan 4-1 ke atas Albania dalam kelayakan Euro 2020, kelmarin.

Pemain berusia 24 tahun itu mengetepikan Umtiti sebagai anggota pemenang Piala Dunia 2018 dalam skuad utama Barca dengan 45 penampilan kompetitif, justeru dia dilihat akan mengulangi prestasi serupa dalam kem Perancis.

Lenglet dijangka akan diturunkan buat kali ketiga, awal pagi esok, kecuali perubahan dibuat untuk mereka menghadapi pasukan tercorot Kumpulan H selepas tewas lima perlawanan, Andorra, di tempat sendiri.

"Dia mengharungi musim yang hebat bersama Barca," kata Deschamps mengenai bekas bek Sevilla itu.

"Dia amat tenang, menghadirkan jaminan dan kemudahan daripada segi teknikal. Dia tenang dalam kawalan bola. Walaupun fizikalnya tidaklah terlalu besar, dia juga berkesan dalam perebutan bola dan tahu bagaimana untuk merampas bola.

"Dia masih berkembang tetapi dia menawarkan kami keyakinan tinggi."

Lenglet dan pertahanan Real Madrid, Varane, merupakan tonggak utama bersama kelab tersohor LaLiga itu. Sehubungan itu, jurulatihnya itu menganggap pengalaman mereka di peringkat tersebut dapat mempercepatkan pemahaman mereka di arena antarabangsa.

"Kedua-duanya mewakili kelab gergasi. Khidmat mereka digunakan di tahap yang sangat tinggi," katanya lagi.

"Raphael mempunyai pengalaman yang lebih banyak daripada Clement.

"Lebih banyak perlawanan mereka digandingkan, semakin utuh kerjasama mereka."

Perancis kini di puncak Kumpulan H dengan baki lima perlawanan lagi tetapi pernah tewas kepada Turki dan Iceland.

Tambahnya lagi: "Saya akan memutuskan siapa yang akan bermain tetapi pasti akan ada beberapa perubahan.

"Walaupun pemain yang bermain kelmarin mahu bermain lagi, ia pasti tidak akan menjadi pasukan yang sama."