Jurulatih Jerman, Joachim Low, lega meraih kemenangan sukar 2-0 ke atas Ireland Utara dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 di Windsor Park, awal pagi tadi.

Juara dunia 2014 itu dipaksa bekerja keras sebelum memungut tiga mata dalam pertembungan Kumpulan C itu dengan dua gol babak kedua menerusi Marcel Halstenberg dan Serge Gnabry menjadi pemisah.

Conor Washington terlepas peluang buat Ireland Utara ketika tuan rumah mencetuskan kesulitan terhadap Jerman yang membariskan pemain kurang berpengalaman di bahagian pertahanan, Halstenberg dan Lukas Klostermann.

Low terpukau dengan prestasi Ireland Utara itu tetapi gembira melihat cara pemainnya menyesuaikan prestasi mereka untuk menyekat ancaman itu.

"Ia satu perlawanan sangat sukar sepanjang 90 minit permainan ketika menentang Ireland Utara yang menampilkan permainan bola sepak menyerang yang jitu," katanya dalam sidang akhbar.

"Dalam babak pertama, ia situasi yang sangat sukar buat kami kerana kami diberi tekanan hebat. Kami bertambah baik dalam babak kedua tetapi ia adalah satu perlawanan yang sangat sukar dan kami gembira untuk memenangi perlawanan ini."

Tambahnya: "Kami kelihatan tidak begitu serasi dan pemain saya perlu belajar untuk membentuk permainan sepasukan selain harus saling mengenali gaya masing-masing.

"Kami akan terus memperbaiki persembahan dalam setiap perlawanan tatkala kami akan terus bergerak ke hadapan.

"Lawan cuba menjejaskan rentak permainan kami dan mereka menghidu ruang yang ada, terutama dalam babak pertama dan selepas separuh masa, Ireland Utara meningkatkan tempo dan bermain dengan lebih pantas tetapi kami memberi tindak balas.

"Dalam separuh masa pertama, kami memberikan mereka terlalu banyak ruang, mereka begitu tangkas di udara, jadi kami perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan seperti ini."

"Saya fikir kami mempunyai potensi pada masa depan dan ia mengenai aspek usaha untuk membawa mereka mengharunginya."

Julian Brandt menyaksikan kebangkitan Die Mannschaft susulan kekalahan 2-4 kepada Belanda, Sabtu lalu, selain akur masih ada ruang untuk penambahbaikan.

"Kami perlu mengenal pasti masalah yang dihadapi," kata pemain tengah Borussia Dortmund itu.

"Kami bermain lebih baik berbanding Sabtu lalu tetapi bukan semuanya sempurna pada masa depan, terutama mengenai hantaran akhir kami. Ia elemen yang kami tingkatkan dalam babak kedua dan kami sepatutnya boleh menyumbat lebih banyak gol lagi.

"Beberapa perkara masih boleh diperbaiki -- lebih klinikal di depan gol merupakan salah satu daripadanya."

Jerman dan Ireland Utara kini mengumpul 12 mata di puncak Kumpulan C, tiga mata di atas Belanda yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Skuad kendalian Low itu bakal menghadapi Estonia dalam perlawanan seterusnya bulan depan.