Pemain tengah skuad B-23 negara, Danial Amier Norhisham, hampa tidak dapat menyertai perjuangan penting pasukannya dengan China dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Danial, yang mesra disapa Boy, ditimpa malang selepas mengalami kecederaan ketika aksi pertama menentang Filipina, Jumaat lalu.

Pemain tengah Felda United itu mengalami kecederaan metatarsal dan terpaksa direhatkan daripada dua perlawanan peringkat kumpulan berikutnya.

Ketiadaannya jelas memberikan kesan terhadap persembahan skuad negara ketika bertemu Laos, kelmarin -- Malaysia sekadar menang tipis 1-0 -- dan dijangka akan terus dirasai dalam aksi berdepan China.

"Kecederaan ini merupakan sesuatu yang tidak mahu saya dengari.

"Saya tidak menjangkakan kecederaan ini akan menjadi seteruk ini.

"Selepas menjalani pemeriksaan, doktor memberitahu saya bahawa terdapat sedikit keretakan di kaki saya.

"Saya perlu berehat untuk tempoh yang agak panjang," katanya.

Danial, yang perlu berehat selama dua bulan, percaya rakan sepasukannya mampu mencipta kejutan ke atas skuad bimbingan Guus Hiddink itu.

Keyakinan itu berlandaskan kemampuan skuad negara ke suku akhir dalam edisi di China tahun lalu.

"Harapan saya tetap sama, saya mahu pasukan ini layak ke kejohanan utama.

"Saya pernah merasainya tahun lalu dan saya tahu kesoronokan dan nikmatnya untuk beraksi di peringkat itu.

"Saya berharap mereka akan dapat melayakkan diri ke Thailand supaya saya dapat beraksi dalam kejohanan utama itu nanti," tambahnya.