Kapten skuad B-23 negara, Safawi Rasid, menyifatkan penyokong sebagai sumber semangat untuk Malaysia menewaskan China dalam aksi terakhir Kumpulan J, Kelayakan Kejohanan AFC B-23 Tahun 2020 di Stadium Shah Alam, malam esok.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melihat aksi berdepan China ibarat perlawanan final dan sekiranya terdapat ‘bantuan’ untuk Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan akhir di Bangkok tahun depan, ia datang daripada penyokong.

Jelasnya, penyokong adalah satu daripada kelebihan yang dimiliki Malaysia sepanjang kempen kelayakan itu yang bermula Jumaat lalu.

“Sejujurnya, bagi saya kita ada banyak kelebihan... kita dapat beraksi di laman sendiri dengan sokongan penyokong sendiri. Perlawanan dengan China ini ibarat final, jadi saya dan kawan-kawan berharap kehadiran penuh penyokong di stadium dalam perlawanan ini,” katanya.

Dalam aksi menentang Laos semalam, Safawi menceriakan hampir 10,000 penyokong di Stadium Shah Alam selepas menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-81 untuk membantu Malaysia mencatat kemenangan 1-0.

Safawi turut menggesa rakan sepasukan bangkit untuk mengutip tiga mata penuh apabila berdepan skuad kendalian bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea, Guus Hiddink, itu.

“Bagi saya dan rakan-rakan sepasukan, kami akui ia (aksi menentang Laos) satu persembahan yang tidak memuaskan. Jadi, berdepan China, kami akan bangkit dan bermain dengan lebih baik daripada hari ini (Ahad) dan layak ke pusingan akhir,” tambahnya.

Sebagai rekod, China mengatasi Malaysia 2-1 dalam aksi persahabatan sebelum menghadapi Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, Ogos tahun lalu yang menjadi pertemuan terakhir kedua-dua pasukan.

Kemenangan ke atas China esok akan memastikan Malaysia mara ke pusingan akhir secara automatik dan dijangka berdepan peluang tipis mengesahkan slot jika gagal menundukkan China.

-- BERNAMA